Membawang Hari Ini

Imam Muda Asyraf bergelar pelakon

Projek KahwinSEJAK bergelar juara program Imam Muda musim pertama, Asyraf atau nama sebenarnya, Muhammad Asyraf Mohd. Rizuan sibuk menghadiri jemputan berdakwah ke serata tempat termasuk di luar negara.

Akuinya, tidak penah terlintas di hatinya untuk bergelar pelakon meskipun beberapa kali menerima tawaran lakonan sebelum ini.

Namun, tawaran yang dihulurkan pihak penerbitan teater Mask Team kepadanya sukar ditolak.

Buat pertama kali dalam sejarah hidupnya, Asyraf akan berlakon di pentas berprestij Istana Budaya pada 6 hingga 14 Jun depan bersama beberapa pelakon ternama seperti Izzue Islam, Shah Iskandar, Hanez Suraya, Sherry Alhadad dan Zulin Aziz.

Bukan mahu meraih populariti atau menggenggam anugerah sebagai pelakon terbaik tetapi menurut Asyraf dia ingin mendalami bidang lakonan sebagai salah satu ilmu untuknya berdakwah.

Ikuti temu bual Kosmo! bersama Asyraf yang ditemui pada sidang akhbar yang diadakan di Dewan N’dah, Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

Kosmo!: Apakah yang membuatkan anda menerima tawaran lakonan daripada pihak penerbitan teater Projek Kahwin?

ASYRAF: Pada mulanya saya agak ragu-ragu untuk terima kerana saya bukannya pelakon. Selepas diterangkan watak sebagai ustaz dan hanya ada tiga babak besar, barulah saya terima. Salah satunya, babak mengendalikan kursus kahwin serta menerangkan makna perkahwinan dalam Islam. Saya anggap ia salah satu dakwah, jadi apa salahnya saya terima.

Adakah anda bimbang pandangan orang ramai terhadap anda selepas menceburi bidang lakonan?

Sejujurnya bimbang juga. Sebelum ini ada ustaz lain yang pernah berlakon tetapi dalam pentas teater rasanya saya yang pertama. Tentang kritikan, sebelum ini Ustaz Azhar Idrus berlakon ada juga orang bising tetapi niat saya adalah untuk berdakwah. Mungkin penonton yang saya temui di Istana Budaya, saya tidak jumpa di tempat dakwah sebelum ini.

Maknanya anda ingin membawa dakwah di pentas teater?

Tidak salah rasanya untuk berdakwah di mana-mana sahaja. Saya ada pengikut tersendiri daripada orang masjid dan juga pelajar pengajian tinggi. Mungkin dengan penglibatan saya mereka akan menonton teater ini di Istana Budaya dan pada masa yang sama saya juga dapat bertemu dengan orang yang mungkin tidak pernah mengenali atau mendengar dakwah saya.

Apa pandangan anda tentang keperluan seni dan budaya dalam Islam?

Orang tidak nampak keperluan antara seni dan agama Islam sedangkan pada zaman dahulu sudah wujud hiburan dalam Islam. Sama juga kita lihat hari ini, stesen televisyen berlandaskan agama Islam semakin mendapat sambutan dan permintaannya semakin banyak. Mungkin pada masa hadapan Istana Budaya juga menjadi salah satu medium untuk menyalurkan dakwah.

Apakah yang ingin anda kecapi dalam dunia lakonan?

Tujuan saya pertama adalah untuk belajar apa itu teater dan lakonan. Sebelum beri ceramah pada orang lain lebih baik saya libatkan diri terlebih dahulu dan melihat sendiri bagaimana perjalanan seorang anak seni yang sebenar. Kiranya ini pengalaman sepanjang hidup dan saya tidaklah menyasarkan anugerah atau jadi pelakon popular (ketawa).

Bagaimanakah dengan persediaan anda?

Saya akan menghadiri kelas lakonan secara eksklusif dengan pengarah kerana saya tidak dapat mengikuti jadual latihan yang padat disebabkan kesibukan saya. Berdebar jangan cakaplah tetapi pengarah memberitahu, teater sama sahaja dengan berceramah secara langsung di hadapan 30,000 orang yang pernah saya lakukan sebelum ini. Cuma bezanya saya tidak bercakap dengan penonton, sebaliknya bercakap dengan watak-watak dalam teater ini.

Jika teater ini mendapat sambutan, adakah anda akan meneruskan kerjaya sebagai pelakon?

Saya tidak bercadang jadi pelakon tetapi perjalanan masa hadapan kita semua tidak tahu bagaimana aturannya.

Jadi, saya tidak boleh cakap habis, kalau saya kata tidak, tiba-tiba pula saya sibuk berlakon nanti orang kata saya cakap tidak serupa bikin. Lebih baik saya hanya mengikut mana yang terbaik. – HARYATI KARIM

– KOSMO

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");