Perak Hari Ini

Insiden Pelajar Sesat Di Gunung Bubu: JPN Tunggu Laporan Agensi Terbabit Operasi SAR

PERAKTODAY9

Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri, Mohd Idris Mohd Ramli, berkata pihaknya sedang menunggu laporan daripada semua agensi yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat pelajar yang hilang di Gunung Bubu, dekat Ulu Kenas, petang Ahad lalu.

Selepas mendapat maklumat daripada agensi yang terbabit seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat, beliau menegaskan pihaknya akan mengemukakan laporan itu kepada Kementerian Pendidikan untuk tindakan yang sewajarnya.

“Pihak jabatan ingin merakamkan ucapan takziah kepada keluarga dua pelajar yang meninggal dunia selepas dilaporkan sesat ketika menuruni Gunung Bubu, petang Ahad lalu.

“Kita sedang menunggu laporan daripada agensi yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat tempoh hari termasuklah dari segi kedudukan dan lokasi kejadian.

“Setakat ini, pihak jabatan masih belum menerima sebarang laporan daripada agensi terbabit,” katanya kepada pemberita di Ipoh, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Idris memberitahu mengikut prosedur, mana-mana sekolah yang menganjurkan aktiviti perkhemahan perlu memaklumkan perkara itu kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) masing-masing.

Selain itu, pihak sekolah juga katanya, perlu melaporkan aktiviti itu kepada pihak polis.

Semalam, dua pelajar pelajar Tingkatan 5 Kolej Vokasional Kuala Kangsar yang dilaporkan hilang di Gunung Bubu, Ulu Kenas, petang Ahad lalu ditemui mati.

Menurut Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Supritendan Mat Rabawi Abdul Jalil, mayat Adam Asyraf Azuaan dan Mohamad Amir Asyraf ditemui di dalam sebatang sungai di gunung berkenaan kira-kira jam 3.20 petang.

Manakala, dua lagi pelajar iaitu Mohamad Putera Rafii dan Siti Azimah Mohamad Fitri ditemui selamat kira-kira jam 9.30 pagi dan kedua-duanya dirawat di Hospital Kuala Kangsar sebagai pesakit luar.

Mereka merupakan sebahagian daripada 25 pelajar tingkatan lima kolej itu yang mengikuti program perkhemahan tiga hari dua malam di gunung berkenaan, diiringi enam guru.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");