Sukan Hari Ini

‘Jauh di mata dekat di hati’

Ong Kim Swee

PENGENDALI Harimau Muda A, Datuk Ong Kim Swee optimis anak-anak buahnya mampu berdikari sepanjang ketiadaan beliau bagi menghadapi tiga aksi Liga Perdana Kebangsaan (NPL) Queensland di Australia bulan depan.

Kim Swee yang kini berada di tanah air bagi mengendalikan tugas selaku pengendali sementara Harimau Malaya menjelang aksi persahabatan berdepan Filipina di Cebu pada 27 April depan memberitahu, beliau sentiasa berkomunikasi bersama pembantu jurulatih Harimau Muda A, Rusdi Suparman sepanjang ketiadaan beliau di sana.

“Selain berkomunikasi dengan Rusdi setiap hari, saya juga berhubung dengan Yong Wai Hwang (jurulatih penjaga gol) dan Rastislav Bozik (jurulatih kecergasan) bagi memantau perkembangan skuad Harimau Muda A.

“Saya percaya anak-anak buah saya mampu berdikari dengan baik, ini bukan kali pertama mereka beraksi dalam saingan NPL tanpa kehadiran saya,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Skuad Harimau Muda A bakal berdepan tiga aksi tanpa kehadiran Kim Swee iaitu berdepan Olympic FC (5 April), Northern Fury (13 April) dan Brisbane City pada 24 April depan.

Ini kerana beliau hanya akan kembali ke Australia pada awal Mei depan selepas aksi persahabatan Harimau Malaya berdepan Filipina kelak.

Mengulas lanjut, Kim Swee juga menjelaskan masih terlalu awal bagi mengenal pasti potensi skuad Harimau Muda A yang kini di tangga ke-10 NPL dengan empat mata hasil satu kemenangan, satu seri dan satu tewas.

“Masih ada pemain yang belum berpeluang diturunkan beraksi setakat ini.

“Kesemua pemain akan diberikan peluang sama rata untuk beraksi selepas ini bagi mengimbangi kekuatan dan kelemahan pasukan.

“Harus diingat objektif utama skuad Harimau Muda A dihantar ke saingan NPL ialah sebagai pendedahan menjelang temasya Sukan Asia kelak.

“Jadi, masih terlalu awal untuk mengetahui kekuatan sebenar skuad Harimau Muda A buat masa ini,” katanya.

– Kosmo

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");