Jenayah

‘Kami bukan samseng’

bukan samseng

AYER KEROH – Tiga penarik kereta menafikan mereka bertindak keterlaluan ketika menarik sebuah Proton Persona milik seorang kontraktor di Jalan Penghulu Mak Yah, Kampung Paya Rumput pada 5 Mac lalu.

Saharin Dawood, 42, Rudywan Abdullah, 33, dan Mohd Izzudin Sharom, 26, turut tidak bersetuju dengan dakwaan kontraktor terbabit bahawa mereka berlagak ala samseng, sebaliknya tindakan mereka mengikut prosedur standard operasi (SOP) yang ditetapkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Kepenggunaan dan Koperasi (KPDNKK) dan Persatuan Syarikat Sewa Beli Malaysia.

Menurut Saharin, tindakan tarik kereta itu dibuat berikutan pemiliknya tidak menjelaskan bayaran ansuran sejak lebih tiga bulan.

Malah, katanya, dakwaan kononnya mereka menghimpit kereta kontraktor serta melanggar sehingga berlaku kerosakan di bahagian bumper juga tidak benar.

“Pada hari kejadian, kami pergi ke rumahnya selepas mendapat arahan dari bank. Bila dia tiada, kami tunggu di halaman sampai dia balik. Tapi, sebaik dia nampak kami, tanpa masuk ke rumah, dia terus beredar dan kami terus mengekorinya.

“Niat kami mahu menunjukkan surat penarikan kereta dari bank tapi bila nak potong, keretanya menghimpit kami sehingga berlaku pergeselan sedikit. Bukti menunjukkan keretanya kemik di bahagian ‘mudguard’ adalah tidak benar sebab itu adalah kesan lama,” katanya.

Saharin turut menafikan dakwaan dia dan rakan-rakan ada merampas kunci kereta kontraktor itu.

“Sebenarnya, dia pada awalnya enggan membuka tingkap tetapi selepas kami menunjukkan surat bank, barulah dia keluar sambil menyuruh dua anaknya yang turut berada di dalam kereta itu keluar.

“Kami terangkan keretanya sudah tidak bayar empat bulan tetapi dia menafikan. Selepas merujuk pihak bank dan kami terangkan barulah dia faham dan dia menyuruh salah seorang anaknya mengeluarkan barang-barang dari dalam kenderaan,” katanya semalam.

Saharin turut menafikan dakwaan kontraktor berkenaan kononnya pihaknya enggan membenarkan segala barangan diambil.

“Kami beri dia masa untuk mengambil barangannya tetapi anaknya yang tidak mengambil kesemua barangan dan langsung menuduh kami yang tidak membenarkan mengambilnya.

“Sudah menjadi prosedur kami mengambil gambar setiap apa yang berlaku sebagai rujukan bank termasuk gambar anaknya membawa keluar barangan.

“Malah, dia juga sempat mengambil gambar. Ini membuktikan kami beri dia masa dan bukannya tarik kenderaan secara tergesa-gesa,” katanya.

Saharin berkata, sepanjang 20 tahun menjadi ejen perolehan semula, dia belum pernah berdepan dengan masalah sebegitu.

“Malah, kami juga dipantau KPDNKK dan perlu mengikut prosedur,” katanya.

Menurutnya,  dua laporan dibuat di Balai Tanjung Minyak pada 5 Mac lalu membabitkan laporan menarik kereta dan satu lagi berkaitan pelanggaran.

Malah, Saharin berkata, dia turut membuat satu lagi laporan polis pada 9 Mac di Balai Bukit Baru yang mendakwa kontraktor berkenaan memfitnah mereka kononnya bertindak ganas ketika melakukan tugas menarik kereta.

-Sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");