shadow

kedai gerak ybuKedai Bergerak 1Amanjaya akan bergerak ke 36 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh Perak bagi memberi peluang kepada rakyat luar bandar membeli barang keperluan harian dengan harga yang lebih murah.

Pengerusi Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan (YBUDR), Datuk Saarani Mohamad, memberitahu selaku urus setia, pihaknya diberi tanggungjawab oleh kerajaan negeri untuk mengawal selia kemudahan itu agar mencapai matlamat yang ditetapkan.

“Kedai Bergerak 1Amanjaya ini menggunakan konsep sama seperti Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) tetapi ia bergerak ke 36 kawasan DUN yang dikenalpasti terletak di kawasan pedalaman Perak.

“Ini kerana KR1M hanya boleh dikunjungi di tempat-tempat tertentu sahaja sekaligus membataskan rakyat luar bandar untuk membeli barangan keperluan harian mereka dengan harga yang lebih murah,” katanya kepada pemberita.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir diberi penghormatan melancarkan Kedai Bergerak 1Amanjaya di Dataran Tasik Raban, dekat Lenggong, petang tadi.

Mengulas lanjut, menerusi pendekatan proaktif kerajaan negeri itu kata Saarani, kedai bergerak itu akan turun padang di tiga lokasi ditetapkan untuk setiap DUN.

Pada setiap hari, kedai bergerak itu akan bergerak di kawasan pedalaman bagi menawarkan khidmat jualan barang keperluan harian kepada rakyat luar bandar, katanya lagi.

“Harga yang ditetapkan adalah mengikut jenis barang dan 10 peratus lebih murah daripada harga di kedai runcit,” tambah Saarani lagi.

Beliau berkata, sekiranya rakyat memberi sambutan baik kepada Kedai Bergerak 1Amanjaya, pihaknya bersedia untuk menambah dua buah lori yang yang digunakan pada ketika ini.

Dari segi promosi dan hebahan pula, kerajaan negeri katanya, menggunakan kain rentang dan PerakFM bagi mewar-warkan lokasi kedai bergerak itu dari semasa ke semasa.

“Selain itu, hebahan juga dibuat di masjid-masjid seluruh negeri pada Jumaat lalu  dan kita berharap rakyat Perak khususnya yang tinggal di kawasan pedalaman dapat memanfaatkan kemudahan yang disediakan ini dengan sebaik mungkin,” tegas beliau lagi.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Komen & Pendapat

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *