Perak Hari Ini

Kegiatan Ceroboh Tanah Kerajaan Ditangani Dengan Bantuan Polis, SPRM: DS Zambry

mb perakKegiatan menceroboh tanah milik kerajaan yang dianggarkan seluas kira-kira 17,200 hektar di seluruh Perak akan ditangani secara berterusan dengan bantuan agensi penguatkuasa seperti polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, selain Pejabat Tanah dan Galian (PTG), kerjasama dengan kedua-dua agensi itu penting kerana kegiatan itu didalangi oleh kumpulan atau sindiket terancang.

Jelasnya lagi, kerajaan negeri tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang menceroboh tanah kerajaan termasuklah menguatkuasakan peruntukan dan undang-undang yang terpakai bagi memastikan kegiatan itu tidak berterusan hingga menjejaskan hasil negeri di masa akan datang.

“Kerajaan negeri mengalami kerugian beratus juta ringgit disebabkan oleh kegiatan menceroboh tanah milik kerajaan yang dianggarkan seluas 17,200 hektar di seluruh Perak dan antara kawasan yang dikenalpasti ialah Daerah Batang Padang, Perak Tengah dan Manjung.

“Pihak kerajaan sudah membuat kajian di sebalik perkara ini yang mungkin disebabkan oleh kelemahan dari segi penguatkuasaan hingga menyebabkan ia berleluasa selain tiada mekanisma yang baik dalam mengawal kegiatan terbabit.

“Selain itu, kegiatan menceroboh tanah kerajaan yang dilindungi oleh sindiket terancang juga memberi kesan kepada kerajaan negeri untuk menangani perkara ini,” katanya kepada pemberita di Ipoh, hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Zambry berkata, setakat ini, beberapa kes dikenalpasti tetapi dalang kepada kegiatan itu berjaya melarikan diri.

Jelasnya lagi, kerajaan negeri tidak akan melindungi mana-mana pihak yang terbabit dalam kegiatan itu termasuklah kakitangan awam, Pejabat Menteri Besar (MB) dan atau mereka yang digelarkan sebagai kroni.

“Kerajaan negeri juga berharap agar semua pihak dapat bekerjasama untuk menjaga hasil negeri tanpa mengira fahaman politik dan adalah tidak adil untuk menuding jari kepada mana-mana parti politik kerana apa yang lebih penting, bagaimana caranya untuk menangani perkara ini secara berkesan,” tambahnya lagi.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");