Berita Hari Ini

Kelonggaran permit import beras dikaji

GMBAR HIASAN

KUALA LUMPUR – Kerajaan sedang mengkaji sama ada perlu atau tidak melonggarkan permit import (AP) beras untuk memastikan ia tidak merugikan rakyat, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Kerajaan telah buat ketetapan akan longgarkan semua AP berhubung barang makanan yang diimport.

“Dalam soal beras, kita sedang perhatikan perkara ini untuk pastikan ia tidak merugikan rakyat,” katanya semasa menjawab soalan Datuk Zahidi Zainul Abidin (BN-Padang Besar) mengenai sama ada kerajaan bercadang melonggarkan AP import barang makanan termasuk beras, yang menjadi makanan ruji rakyat Malaysia, pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Perdana Menteri berkata pada masa ini sesiapa yang hendak mengimport barang makanan boleh memohon kepada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, tanpa ada sekatan.

Terdahulu, ketika menjawab soalan Datuk Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) mengenai rasionalisasi subsidi, Najib berkata kerajaan akan melakukannya secara berperingkat-peringkat dan bukan secara mendadak.

“Hasil tambahan kerajaan itu, kita hendak bagi pada rakyat bagi mengurangkan beban fiskal negara, sebahagian besarnya kita pulangkan balik kepada rakyat melalui penambahan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan langkah-langkah lain,” katanya.

Beliau berkata kerajaan sedar bahawa kaedah pemberian subsidi membawa kepada banyak ketirisan walaupun kerajaan menambah bilangan pegawai penguat kuasa, ia tidak boleh menutup masalah itu.

“Sebab itu kerajaan kata langkah jangka panjang, kita mesti beralih kepada subsidi bersasar berbanding subsidi pukal sebab kita dapat tentukan yang dapat faedah ialah rakyat Malaysia, bukannya warga asing, pelancong dan penyeludup,” katanya.

Najib berkata kerajaan mengakui terdapat kelemahan tertentu dalam pemberian BR1M dan kerajaan akan menambah baik kaedah itu pada masa hadapan.

Menjawab soalan Bung Moktar mengenai langkah-langkah konkrit ke arah meringankan beban kos sara hidup yang semakin hari kian meningkat, Najib berkata kerajaan telah mengambil tujuh langkah, termasuk peruntukan hampir RM40 bilion yang meliputi pelbagai subsidi, insentif dan bantuan kepada rakyat.

Beliau berkata kenaikan harga barang antaranya berpunca daripada manipulasi harga, keadaan bekalan, kelemahan rantaian bekalan dan kebergantungan kepada barangan import, selain faktor cuaca.

Berikutan itu, mekanisme penstabilan harga barangan perlu diperkemas, bersesuaian dengan keadaan semasa, kata Najib.

“Jadi, kita sentiasa menyusun semula setiap bantuan atau program mengikut kesesuaian supaya rakyat serta semua golongan yang memerlukan atau yang disasarkan akan merasa faedahnya,” katanya. – Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");