Isu Panas

Kemenangan BN di Balingian hadiah istimewa

balingan prkMUKAH – Berdasarkan keadaan sedia ada, Barisan Nasionalsememangnya mempunyai peluang cerah untuk memenangi kerusi Dewan Undangan negeri Balingian dalam pilihan raya kecil 29 Mac depan, bagaimanapun, pemimpin dan penyokong BN mengharapkan parti itu menang dengan lebih bergaya.

Mereka mengharapkan calon BN memperoleh majoriti lebih besar daripada 5,154 undi yang diraihnya pada pilihan raya negeri 2011, sebagai hadiah yang amat istimewa untuk bekas penyandang kerusi berkenaan selama tiga penggal iaitu Tan Sri Abdul Taib Mahmud.

Pengerusi BN negeri Tan Sri Adenan Satem dalam beberapa pertemuan dengan orang ramai sebelum ini, berkata kemenangan yang dicapai kelak mencerminkan ucapan terima kasih mereka kepada Taib, yang telah memberi sumbangan besar bukan sahaja kepada Balingian, tetapi juga Mukah, Samarahan sejak 30 tahun lepas dan selama lebih 50 tahun kepada Sarawak secara menyeluruh.

Sementara itu, bagi anggota Kabinet negeri, terutama Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Alfred Jabu dan Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga negeri Datuk Fatimah Abdullah, kemenangan itu akan menjadi hadiah yang amat bererti bagi Adenan, yang mengambil alih tugas Taib sebagai ketua menteri.

Satu lagi sebab yang juga dinyatakan berulang kali kepada sebahagian besar 13,366 pengundi berdaftar di kawasan itu ialah kemenangan itu untuk membolehkan usaha membangunkan Balingian dan Mukah berjalan lancar.

Mukah merupakan bandar istimewa di negeri ini. Di bandar inilah terletaknya ibu pejabat Koridor Tenaga Boleh Diperbaharui Sarawak (Score), wilayah pembangunan yang merentang dari Samalaju di Bahagian Bintulu hingga ke Tanjung Manis di Bahagian Mukah.

Menurut Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Kedua Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, sehingga kini, Score menarik pelaburan asing berjumlah US$30 bilion.

Pilihan raya kecil Balingian akan menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara BN dan PKR.

PKR menurunkan ‘manok sabongnya’ (perkataan Iban yang bermaksud ayam sabung) ahli perniagaan dari Bintulu Abdul Jalil Bujang, 55, untuk menentang calon BN, bekas pegawai daerah Dalat Yussibnosh Balo, 48.

PKR sedang berusaha untuk meluaskan pengaruhnya di negeri ini setelah memenangi kerusi negeri Batu Lintang, Krian dan Ba’ kelalan.

Kerusi Balingian, yang meliputi separuh daripada bandar Mukah, merupakan kerusi yang amat berharga untuk dimenangi.

Bagaimanapun, setakat ini, kempen oleh kedua-dua pihak belum begitu rancak. Ramai berpendapat ia akan menjadi panas selepas 23 Mac apabila selesainya kempen bagi pilihan raya kecil kerusi Dun Kajang.

Sebenarnya, pilihan raya kecil Balingian mempunyai erti tersendiri bagi pengundi di kawasan berkenaan.

Merekalah yang akan mendapat lebih banyak manfaat, mengenali kedua-dua calon yang merupakan orang biasa menceburi bidang politik negeri, kata seorang juru kempen parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yang enggan dikenali.

“Sekiranya calon BN Yussibnosh menang, beliau merupakan wakil rakyat yang mudah untuk didekati. Orang ramai boleh bergaul dan bercakap secara bebas.

“Tanpa mempunyai niat tidak baik terhadap Taib, walaupun beliau adalah pemimpin hebat, tetapi orang biasa adakalanya berasa kurang selesa untuk menyuarakan pendapat mereka di hadapan beliau kerana begitu menghormatinya, di samping mematuhi protokol,” kata juru kempen itu.

Menurut beliau Yussibnosh, Melanau Kristian dari Kampung Tellian di sini, tidak akan kekok untuk berkunjung ke kampung Melanau (Islam dan Kristian) serta 87 rumah panjang yang berselerak di kawasan berkenaan.

“Kebanyakan rumah panjang ini belum pernah menerima kunjungan mana-mana pemimpin kanan BN, selain Taib. Ini kerana pendirian pemimpin BN yang tidak mahu memasuki kawasan bos mereka tanpa sesuatu sebab penting.

“Oleh itu, Yussibnosh merupakan pilihan paling tepat kerana beliau adalah orang biasa yang begitu bersemangat untuk berkhidmat kepada setiap penduduk kebanyakan,” katanya.

– Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");