Isu Panas

Kerajaan akan terus bantu Bumiputera

muhyiddin yassin

MUKAH – Kerajaan BN tidak akan menghentikan apa-apa usaha yang telah dilaksanakannya selama ini untuk meningkatkan taraf hidup kaum Bumiputera, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Malah, beliau berkata usaha itu akan dipertingkatkan lagi khususnya dari segi memperluaskan lagi peluang-peluang pendidikan dan perniagaan untuk Bumiputera.

“Kita telah membuat pelaburan yang banyak untuk menentukan anak bangsa Bumiputera maju di masa depan dan menyumbang kepada kemajuan negara.

“Selama ini kita telah melahirkan ramai anak Bumiputera yang berjaya dan kita mahu lebih ramai lagi anak Bumiputera untuk berjaya,” katanya semasa berucap merasmikan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di sini, hari ini.

Katanya kerajaan BN telah mewujudkan pelbagai agensi supaya kaum Bumiputera dapat duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan masyarakat-masyarakat lain.

Muhyiddin berkata, kewujudan MRSM di bandar kecil seperti Mukah jelas menunjukkan kesungguhan kerajaan BN untuk melebarkan lagi peluang bagi anak Bumiputera mendapat pendidikan.

“Sekolah-sekolah seperti ini (MRSM) tidak akan diwujudkan hanya di Semenanjung Malaysia atau di bandar-bandar besar sahaja. Kita mahu peluang untuk belajar ada di semua tempat di negara ini,” katanya.

Berhubung pembangunan infrastruktur pendidikan di kawasan Dun Balingian di sini, Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan berkata beliau telah mengarahkan supaya pembinaan bangunan Sekolah Kebangsaan (SK) Tellian dan SK Balingian disegerakan bagi menampung keperluan pelajar di sini.

Katanya penyegeraan pelaksanaan kedua-dua projek ini bukan kerana pilihan raya kecil berlangsung di kawasan ini tetapi ekoran keutamaan kerajaan BN yang
selama ini sentiasa mementingkan pendidikan untuk rakyatnya.

Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan beberapa anggota Kabinet negeri dan persekutuan turut hadir pada majlis itu.

Pilihan raya kecil Dun Balingian 29 Mac ini menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon BN Yussibnosh Balo dan Abdul Jalil Bujang daripada PKR.

Pada majlis sama, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata kerajaan mungkin mewujudkan lebih banyak MRSM di negara ini untuk memenuhi permintaan yang meningkat saban tahun.

“Setiap tahun kami menerima permohonan daripada 40,000 pelajar sedangkan hanya ada 7,000 tempat di 41 MRSM di seluruh negara.

“Kolej ini bertujuan membantu pelajar bumiputera yang pintar dari kawasan luar bandar untuk menjadi pelajar cemerlang,” katanya.

Kolej yang menempatkan 533 pelajar itu dibina pada April, 2006 dan siap pada Februari, 2008. Ia mula menerima pelajar pada 2010 dengan kumpulan perintis berjumlah 108 orang. – Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");