Berita Hari Ini

KK1M beri sinar warga emas

KKM

MARANG – Warga emas yang menghidap katarak iaitu sejenis masalah mata disebabkan selaput yang menutupi kanta sehingga menyebabkan penglihatan terganggu, kini berpeluang menikmati bantuan dana perubatan diwujudkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Menurut Pengarah Jabatan Kesihatan negeri, Datuk Dr Anwa Sulaiman, pihaknya akan mengenal pasti mana-mana warga emas yang memerlukan bantuan melalui Program Perkhidmatan Rawatan Katarak Bergerak 1Malaysia (KK1M) yang diadakan di seluruh negeri ini.

“Mereka yang tidak mampu menampung kos perubatan akan menerima bantuan daripada dana perubatan KKM, manakala yang mampu boleh menikmati kos pembedahan lebih rendah.

“Pelancaran KK1M bagi negeri ini pada 16 Februari lalu di Kemaman membawa harapan baharu kepada pesakit untuk memulihkan penglihatan,” katanya ketika ditemui pada program sama di Klinik Kesihatan Bukit Payong, di sini.

Kata Dr Anwa lagi, seramai 360 orang sudah menjalani saringan asas dan 194 daripadanya dikesan perlu menjalani saringan kedua ketika perkhidmatan klinik bergerak KK1M diadakan di tiga klinik kesihatan di Kemaman.

“Namun, hanya 158 orang hadir dan berjaya diperiksa dalam saringan kedua iaitu rujukan daripada Klinik Kesihatan Cherul (27), Klinik Kesihatan Kemasik (106) dan Klinik Kesihatan Baru 2 ½ (61),” katanya, di sini, semalam.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan KK1M peringkat Marang yang merupakan destinasi ketiga selepas KK1M di Kemaman pada 16 Februari lalu dan Dungun pada 2 Mac lalu.

Mengulas lanjut hasil pemeriksaan di Kemaman, Dr Anwa berkata, seramai 17 pesakit dikesan perlu melakukan pembedahan katarak, namun hanya tujuh pesakit menjalani pembedahan katarak dan dua pesakit menjalani pembedahan pterygium, iaitu pertumbuhan tisu bukan kanser yang membentuk konjunktiva.

“Seramai 10 orang lagi tidak jalani pembedahan kerana beberapa faktor iaitu masalah perubatan (3), pesakit tidak mahu dibedah (4) dan katarak belum sesuai untuk dibedah (1), manakala ada juga pesakit tidak dapat dihubungi (dua).

“Selain itu, seramai 25 pesakit dirujuk ke Hospital Kemaman bagi pemeriksaan lanjut berkaitan katarak dan 43 lagi dirujuk untuk lain-lain masalah melibatkan masalah okular seperti glaukoma dan retinopati diabetik,” katanya.

Bagi peringkat Marang pula, Klinik Kesihatan Bukit Payong mengadakan perkhidmatan itu selepas Kemaman dan Dungun, seterusnya Hulu Terengganu (30 Mac), Kuala Terengganu (13 April), Setiu (27 April) serta Besut (11 Mei).

-Sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");