Berita Hari Ini

KLIA2: ‘Nasib’ projek mega

projek klia 2

TIADA apa perlu dihairankan apabila kritikan demi kritikan dilemparkan terhadap pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) yang dijadual akan siap pada 2 Mei ini.

Sebelum ini, KLIA yang siap dibina pada 1998 juga berdepan kritikan bahawa pembinaannya membazirkan wang negara.

Begitu juga Menara Berkembar Petronas, Litar Antarabangsa Sepang, dan pusat pentadbiran Putrajaya.

Dan kini, giliran KLIA2, lapangan terbang yang dibina khusus untuk syarikat penerbangan tambang rendah, menjadi sasaran pelbagai pihak.

Pertama, kos pembinaan KLIA2 yang boleh mengendalikan 45 juta penumpang setahun dikatakan naik berganda, memberi gambaran seolah-olah berlaku pembaziran.

Tetapi hakikatnya, reka bentuk asal KLIA2 yang dirancang untuk dibina dengan kos RM2 bilion jauh berbeza berbanding yang sedang dibina kini dengan kos RM4 bilion.

Pemilik lapangan terbang itu, Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) pada mulanya merancang membina KLIA2 sebagai lapangan terbang yang ringkas, tetapi selepas mendapat pelbagai permintaan daripada pihak berkepentingan termasuk syarikat penerbangan, kerajaan dan orang ramai, banyak penambahan dibuat pada KLIA2.

Contohnya, pelan asal MAHB untuk membina terminal dua tingkat diubah menjadi tiga tingkat selepas kerajaan menetapkan supaya balai penerbangan domestik dan antarabangsa diasingkan bagi mengatasi isu pemerdagangan manusia.

Selain itu, 68 pintu berlepas disediakan berbanding rancangan awal 55 pintu, dan MAHB juga membina landasan empat kilometer yang boleh digunakan pesawat besar seperti Airbus A380 berbanding 2.2 kilometer yang dirancang pada peringkat awal bagi memenuhi permintaan syarikat penerbangan yang akan beroperasi di KLIA2.

MAHB turut menyediakan jambatan udara di setiap pintu untuk kemudahan penumpang selain memenuhi permintaan syarikat penerbangan untuk sistem pengendalian bagasi automatik sepenuhnya yang akan memudahkan mereka mengendalikan 30 juta penumpang setahun seperti jangkaan terkini.

Semua ini melibatkan kos tambahan, tetapi ianya pelaburan yang baik, jika dilihat dari sudut kerancakan industri penerbangan pada masa ini.

Industri penerbangan berkembang pesat

Kepesatan industri penerbangan antara sebab utama mengapa KLIA2 perlu dibina sebegitu rupa.

Laporan Unjuran Pasaran Semasa 2013-2032 oleh syarikat pengeluar pesawat Boeing menunjukkan dalam 20 tahun akan datang, hampir separuh daripada pertumbuhan trafik penerbangan dunia akan disumbangkan oleh penerbangan dari atau ke rantau Asia Pasifik.

Menurut Boeing, syarikat penerbangan di rantau ini akan memerlukan 12,820 pesawat baru sepanjang tempoh itu, dengan 69 peratus daripadanya adalah pesawat berlorong tunggal.

“(Kewujudan) syarikat penerbangan tambang murah menyebabkan kenaikan ketara dalam permintaan untuk pesawat berlorong tunggal,” menurut Boeing.

Unjuran ini cukup untuk menjadi alasan kukuh mengapa KLIA2 yang akan menjadi hab penerbangan tambah rendah perlu dibina dengan ciri-ciri canggih dan lebih besar.

Dalam masa terdekat, KLIA2 akan menjadi penyumbang besar kepada negara dari sudut prasarana, peluang pekerjaan dan ekonomi.

Sementara itu, ada desas-desus bahawa cukai lapangan terbang di KLIA2 mungkin naik berbanding RM32 di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) sekarang, tetapi itu terletak kepada keputusan kerajaan kelak, dan kenaikan itu dijangka berbaloi dengan keselesaan yang akan dinikmati pengguna.

Difahamkan, syarikat penerbangan juga ada pilihan sama ada mahu menggunakan semua kemudahan disediakan di KLIA2 dengan caj tambahan, seperti jambatan udara, atau meminta penumpang berjalan kaki ke pesawat untuk jimatkan kos.

Apa yang pasti, semua projek mega yang dihentam dahulu kini menjadi kebanggaan dan menyumbang kepada ekonomi negara.

Jika sekarang KLIA2 dikatakan dibina secara berlebihan, mungkin 20 tahun lagi, apabila industri penerbangan semakin berkembang, ada yang mahukan KLIA3 pula.

Sama seperti laporan Boeing yang melihat 20 tahun ke depan, ciri utama sesebuah projek mega adalah ia perlu dibina dengan jangkaan 20 hingga 30 tahun akan datang dan bukan hanya dibina untuk hari ini.

Kegagalan memahami konsep ini antara sebab mengapa ramai yang menganggap KLIA2, dan pelbagai projek mega lain, satu pembaziran.

-Sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");