Sukan Hari Ini

Lampard berasa teruja

Frank Lampard, Felipe MeloLONDON – Pemain tengah Chelsea, Frank Lampard berasa teruja untuk melihat Chelsea memimpin semula kedudukan teratas Liga Perdana England selepas beberapa musim terkeluar daripada persaingan.

Lampard menyuarakan kegembiraan itu menjelang aksi liga domestik menentang musuh tradisi, Arsenal di Stamford Bridge malam esok.

Pada tahun 2005 lalu, Jose Mourinho membantu skuad The Blues menjulang trofi pertama dalam tempoh 50 tahun sebelum mengulanginya sekali lagi pada musim berikutnya.

Bagaimanapun, sejak daripada itu Chelsea hanya memenangi satu trofi Liga Perdana England pada tahun 2010 di bawah bimbingan Carlo Ancelotti.

Pada 2012, Chelsea memenangi trofi Liga Juara-Juara dan Piala FA tetapi menamatkan saingan di tempat keenam selepas ketinggalan 25 mata di belakang juara, Manchester City.

Setahun selepas itu, Chelsea ketinggalan 14 mata di belakang Manchester United untuk menduduki tempat ketiga tetapi memenangi gelaran juara Liga Europa.

Mourinho yang kembali ke Stamford Bridge awal musim ini menganggap Manchester City sebagai calon juara kerana skuad The Citizens kurang satu perlawanan.

Namun, Lampard yang masih terkejut dengan kekalahan 0-1 kepada Aston Villa baru-baru ini yakin Chelsea mampu menjadi juara selepas memiliki kelebihan empat mata di depan pasukan di tangga kedua, Liverpool.

“Sesuatu yang hebat apabila berada di posisi ini.

“Kami cuba melakukannya beberapa tahun lalu, dua atau tiga tahun sebelum ini tetapi gagal.

“Satu perasaan yang hebat apabila Chelsea kembali di landasan tepat dan kami dapat merasakan bahawa kami sedang bersaing untuk menjadi juara berbanding di tempat keempat,” katanya.

Selepas kejayaan mara ke suku akhir Liga Juara-Juara musim ini, skuad bimbingan Mourinho membuat persiapan untuk menghadapi Arsenal.

“Mereka mempunyai ramai pemain berkualiti dan kami tidak bimbang dengan kemampuan diri sendiri.

“Jika kami menang banyak perlawanan sehingga akhir musim ini, ia akan memberikan kami peluang dan saya sangat yakin ketika ini,” katanya.

– AFP

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");