Sukan Hari Ini

Malaysia intai peluang cipta kejutan

BARISAN pemain negara menjalani latihan menjelang pertemuan menentang Korea Selatan di Stadium Hoki Sultan Azlan Shah, Ipoh, Perak malam ini.

MALAYSIA berazam mencipta kejutan ke atas Korea Selatan apabila kedua-dua pasukan berentap pada aksi kedua Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah di Stadium Hoki Sultan Azlan Shah, Ipoh, Perak malam ini.

Melabelkan Korea Selatan sebagai jaguh Asia, ketua jurulatih, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah berkata, anak-anak buahnya perlu menanam kepercayaan dalam diri masing-masing bagi merealisasikan hasrat untuk membenam lawan.

“Saya rasa kalau kita berjaya mencipta kejutan esok (malam ini), peluang untuk melangkah ke final lebih cerah.

“Memang kita boleh disifatkan sebagai pasukan underdog kerana Korea jauh lebih berpengalaman, bahkan mereka juga pernah menumpaskan pasukan kita yang rata-ratanya dibarisi pemain senior yang mantap.

“Disebabkan rekod itu, mungkin mereka rasa lebih mudah untuk menewaskan kita.

“Jadi, Malaysia perlu mempamerkan permainan lebih daripada apa yang mereka mampu,” katanya selepas sesi latihan semalam.

Menurut Dhaarma Raj, Korea Selatan juga memiliki kelebihan berdasarkan barisan pemain sedia ada berbanding skuad kendaliannya yang rata-ratanya dibarisi pemain muda.

“Jika dilihat daripada segi peluang, saya rasa Korea memiliki kelebihan sebanyak 70 peratus dan kita 30 peratus. Pemain Korea yang menyertai kejohanan ini terdiri daripada mereka yang pernah bermain untuk Piala Dunia dan Sukan Olimpik.

“Berbeza dengan pemain kita yang tidak pernah ke peringkat itu tetapi hanya berpengalaman menyertai Piala Dunia Remaja,” ujarnya.

Dhaarma Raj turut memberitahu bahawa misi utama malam ini adalah untuk memburu gol menerusi pukulan sudut penalti selepas gagal berbuat demikian dalam perlawanan pembukaan menentang Afrika Selatan, Khamis lalu.

– KOSMO

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");