Perak Hari Ini

MB Inc, Om Holdings Ltd Teroka Perlombongan Batu Silika Di Perak

silika

Kerajaan negeri melalui Menteri Besar Incorporated (MB Inc) hari ini menandatangani perjanjian dengan syarikat Om Holdings Ltd bagi meneroka perlombongan batu silika di Lasah dan Lawin dekat Kenering yang dijangka beroperasi dalam tempoh 12 bulan akan datang.

Menteri Besar, Datuk Seri Zambry Abd Kadir, berkata syarikat bertaraf antarabangsa dari Singapura itu terbabit secara langsung dalam bidang perlombongan dan galian.

“Kerajaan negeri melalui MB Inc hari ini menandatangani perjanjian dengan syarikat OM Holdings Ltd bagi meneroka sektor perlombongan mineral yang berkualiti tinggi bagi pasaran eksport.

“Kita yakin perjanjian ini akan memberi pulangan atau hasil yang baik kepada kerajaan negeri dan rakyat Perak terutamanya dari segi tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang akan dilaksanakan oleh oleh syarikat berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian itu di Tasik Raban Resort, dekat Lenggong hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif MB Inc, Aminuddin Hashim mewakili kerajaan negeri manakala Om Holding Ltd diwakili oleh Pengarah OM (ANR) Resources Sdn Bhd, Tan Meng Kong.

Terdahulu dalam ucapannya, Zambry berkata, kerjasama itu berupaya membaiki taraf sosio-ekonomi rakyat tempatan dengan mewujudkan peluang pekerjaan serta meningkatkan lagi kualiti perkhidmatan di Perak yang nyata tidak ketinggalan memberi perhatian serius terhadap usaha memelihara alam sekitarnya.

“Perak kini mengalami perubahan ekonomi yang akan menambahkan hasil dan pembangunan sedia ada dan sektor perlombongan adalah kekuatan kita untuk mengekalkan pertumbuhan negeri,” tegasnya lagi.

Di bawah perjanjian itu, OM (ANR) Resources Sdn Bhd akan diberi kebenaran untuk menjalankan operasi melombong silika di Lasah dan Lawin, sekaligus membekalkan produk ‘ferro silicon alloy smelting deposits’ kepada kilang syarikat itu yang beroperasi di Sarawak.

Tambah Menteri Besar lagi, projek itu juga diharap dapat menarik lebih banyak pelaburan dalam sektor perlombongan dan meletakkan Perak sebagai syurga perniagaan bagi para pelabur.

“Bekalan bahan mentah yang disalurkan daripada kedua-dua kawasan itu kelak akan mengurangkan kos operasi kilang OMH Sarawak dan ia secara tidak langsung menjadikan syarikat itu lebih berdaya saing dalam industri terbabit,” tambah beliau lagi.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");