Berita Hari Ini

MoU air dikhianati Persekutuan?

mou

SHAH ALAM  – Pakatan Rakyat (PR) mendakwa Kerajaan Persekutuan mengkhianati Perjanjian Persefahaman (MoU) air yang dibuat dengan Kerajaan Selangor kerana enggan menggunakan Akta Industri Perkhidmatan Air (WSIA) untuk menyelesaikan pertikaian isu pengurusan air negeri ini.

Dalam satu kenyataan bersama pemimpin PR iaitu Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli; Setiausaha Publisi DAP Kebangsaan, Tony Pua dan Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad berkata, WSIA perlu digunakan untuk mengambil alih syarikat konsesi air di Selangor.

“Ini adalah pengkhianatan ke atas perjanjian yang dibuat dengan kerajaan negeri. Keputusan berpatah balik itu tidak boleh diterima dan mengejutkan,” kata mereka.

Merujuk kepada Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili dalam satu kenyataannya Jumaat lalu berkata, Kerajaan Pusat tidak akan menggunakan WSIA untuk mengambil alih syarikat konsesi air di Selangor.

Sehingga kini, tiga konsesi iaitu Puncak Niaga Sdn Bhd (PNSB), Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) dan Syarikat Pengeluar Air Selangor Holdings (Splash) masih belum bersetuju dengan tawaran pengambilalihan pada harga RM9.65 bilion meskipun MoU berhubung penstrukturan air telah ditandatangani antara Selangor dan Putrajaya pada 26 Februari lalu.

Dalam satu kenyataan bersama dengan menteri besar baru-baru ini, Dr Maximus berjanji untuk memastikan kelicinan proses penstrukturan industri air Selangor termasuk menggunakan WSIA bagi memaksa syarikat konsesi menerima tawaran dikemukakan kerajaan negeri.

Justeru, dalam kenyataan bersama itu PR menggesa kerajaan negeri supaya tidak memberi kelulusan bagi pembinaan loji rawatan air Langat 2.

“Kami akan menggesa  Kerajaan Negeri Selangor, Exco dan Dewan Undangan Negeri menangguhkan baki kelulusan yang diperlukan bagi projek Langat 2.

“Tiada keperluan undang-undang untuk kerajaan negeri memenuhi syarat dalam MoU apabila kerajaan pusat gagal menunjukkan komitmen mereka,” katanya.

Abdul Khalid akan jumpa menteri bincang isu WSIA

Dalam pada itu, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim akan mengadakan pertemuan bersama Dr Maximus bagi membincangkan penguatkuasaan Seksyen 114 Akta WSIA untuk menyelesaikan penstrukturan air negeri itu.

Perkara ini dimaklumkan sendiri Abdul Khalid dalam satu sidang media selepas mengadakan lawatan ke Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) bersama calon PRK Dun Kajang, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail.

“Saya akan berjumpa dengan menteri dan akan bincangkan mengenai proses pengambilalihan. Sebenarnya saya telah menulis surat kepada menteri untuk berbincang tentang langkah pelaksanaan.

“Dengan cara itu, ketiga-tiga projek akan dilakukan serentak iaitu penyusunan semula pengambilalihan operasi air dari konsesi,” katanya memetik portal Selangorku.

Abdul Khalid berkata, beberapa kelulusan daripada kerajaan negeri untuk projek Langat 2 mesti dilakukan serentak dan juga perbincangan dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (Span) mengenai pemberian peruntukan RM2 Bilion kepada kerajaan negeri.

-Sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");