Jenayah

Nelayan perlu lapor jika nampak objek pelik

peta

PUTRAJAYA – Para nelayan terutama di kawasan utara dan timur laut perairan negara diminta supaya membuat laporan jika ternampak sebarang objek ‘pelik’ yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata bilangan nelayan yang dianggarkan berjumlah antara 17,000 hingga 20,000 orang di Kelantan, Terengganu, Perlis, Pulau Pinang dan Perak, boleh digembleng untuk membantu pihak berkuasa dan badan profesional dalam misi pencarian pesawat itu.

“Nelayan berupaya membantu secara sukarela sebab inilah tempat mereka mencari makan dan kita percaya mereka lebih kenal laut. Jadi kita berharap mereka dapat maklumkan kepada kita dengan segera jika menemui objek pelik,” katanya.

Beliau derkata demikian dalam sidang media di sini hari ini selepas bertemu keluarga Khairul Amri Selamat, seorang daripada penumpang pesawat MH370, yang berasal dari Bera, Pahang.

Semalam, Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata bagi menambah operasi mencari dan menyelamat, pihaknya turut berbincang dengan Ismail Sabri sekiranya terdapat keperluan untuk mendapatkan bantuan Persatuan Nelayan Kebangsaan.

Dalam pada itu, Ismail Sabri turut menghubungi rakan sejawatnya di Indonesia semalam bagi memohon bantuan daripada nelayan di bahagian Medan dan Acheh yang berada di sepanjang Selat Melaka.

“Indonesia telah memberi jaminan untuk membantu dan kita juga akan menyampaikan mesej yang sama kepada pihak di Thailand dan Vietnam secepat mungkin sama ada hari ini atau esok,” katanya.

Selain itu, Ismail Sabri berkata beliau turut menerima mesej daripada juruterbang-juruterbang kapal kecil tempatan seperti Twin Otter yang juga menawarkan bantuan untuk mencari pesawat berkenaan.

“Saya akan menyampaikan mesej ini kepada Datuk Seri Hishammuddin kerana mereka juga boleh terbang di sepanjang pesisiran pantai kawasan tumpuan jika dibenarkan Jabatan Penerbangan Awam (DCA),” katanya. – Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");