Jenayah

Nelayan turut digerakkan bantu rungkai misteri MH370

tragedi mas_4

Bukan setakat pesawat-pesawat dan kapal-kapal canggih digerakkan dalam misi mencari dan menyelamat pesawat Malaysia Airlines, MH 370 yang hilang sejak awal pagi semalam, malah para nelayan juga dijemput untuk menyampaikan maklumat jika ada.

Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussien berkata, beliau telah berbincang dengan Menteri Pertanian, Datuk Seri Ismail Sabri supaya menggerakkan persatuan nelayan jika perlu untuk membantu memberikan maklumat jika ada bagi merungkai misteri kehilangan pesawat yang sepatutnya telah mendarat di Beijing 6.30 pagi semalam.

Katanya, bantuan-bantuan daripada negara luar terus diterima bagi memperkukuhkan operasi mencari dan menyelamat yang kini telah diperluas ke Selat Melaka.

“Melihat kepada aset-aset yang ada ketika ini sama ada daripada Malaysia dan rakan-rakan lain, saya tidak pernah membayangkan yang kita akan sampai ke tahap ini.

“Sekarang fokus kami adalah mahu mencari dan menyelamat sehingga pesawat tersebut ditemui. Itulah juga mandat dan harapan ahli keluarga penumpang-penumpang tersebut.

“Mereka memahami bahawa operasi ini sukar dan insiden Air France dijadikan sebagai rujukan. Alhamdulillah mereka sangat memahami bahawa kerajaan telah buat yang terbaik malah mendapat bantuan luar biasa daripada negara-negara luar juga.

“Jadi, itulah fokus kami iaitu mencari dan menyelamat, bukannya melayan segala spekulasi yang bukan-bukan,” katanya dalam sidang akhbar selepas bertemu dan memberi taklimat terkini mengenai perkembangan berhubung misteri kehilangan pesawat MH370 yang terputus hubungan dengan menara kawalan sejak jam 2.30 pagi semalam.

Dalam pada itu, Hishamuddin berkata, beliau berhasrat untuk bertemu sendiri dengan keluarga penumpang yang berada di Beijing, China namun terpaksa menangguhkan hasrat tersebut sehingga pesawat Boeing 777-200 berjaya ditemui.

“Saya memang mahu ke Beijing dan beberapa negara lain kerana terdapat ahli-ahli keluarga penumpang yang mahu bertemu saya secara peribadi tetapi walau apa pun, saya kena tunggu pesawat tersebut ditemui dahulu, selagi ahli keluarga di Malaysia ni masih belum puas hati, saya rasa tidak bertanggung jawab kalau saya tinggalkan mereka.

“Mereka mahu saya berkongsi perkembangan terkini, mereka mahu dengar semua maklumat itu dari mulut saya sendiri kerana itu yang membuatkan mereka lebih berkeyakinan dan bersemangat,” katanya lagi.

– MalaysiaGazette

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");