Jenayah

Pegawai imigresen KLIA patuhi SOP

pesawat mh370

Sepang: Jabatan Imigresen Malaysia mengesahkan dua penumpang pesawat MH370 yang menggunakan pasport curi tiba di negara ini pada 28 Februari lalu dengan menggunakan penerbangan QR 849, Qatar Airways.

Ketua Pengarah jabatan itu, Datuk Aloyah Mamat berkata, siasatan pihaknya mendapati dua lelaki terbabit yang menggunakan pasport warga Austria dan Itali tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 28 Februari lalu jam 8.28 malam, dari Phuket Thailand.

Menurutnya, petugas imigresen melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi memeriksa dokumen perjalanan dua lelaki yang kemudian disahkan warga Iran itu ketika mereka tiba dan keluar dari negara ini.

“Penumpang yang menggunakan pasport milik warga Austria didapati tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 28 Februari lalu jam 8.28 malam.

“Pegawai imigresen yang memeriksa pasport milik warga Austria itu mendapati gambar di dalam pasport sepadan dengannya, malah pegawai itu turut bertanyakan tujuan kedatangannya ke negara ini.

“Selepas berpuas hati dengan jawapan, pegawai berkenaan mengeluarkan pas lawatan sosial yang sah sehingga 90 hari,” katanya, dalam sidang media bersama Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, di sini, semalam.

Aloyah berkata, lelaki itu yang kemudian dikenali sebagai Pouria Nour Mohammad Mehrdad, warga Iran berusia 19 tahun, kembali semula ke KLIA pada 7 Mac lalu jam 10.07 malam dengan membawa bersama pasport dan pas menaiki pesawat MH370 untuk ke Beijing.

“Beliau dibenarkan menaiki pesawat itu selepas pemeriksaan di kaunter mendapati lelaki terbabit masuk secara sah berdasarkan dokumen perjalanannya,” katanya.

Kenyataan Aloyah itu selari dengan laporan Harian Metro kelmarin yang memetik kenyataan sumber mengenai dua lelaki terbabit dikesan masuk ke negara ini pada 28 Februari lalu jam 8.30 malam dengan penerbangan Qatar Airways QR849.

Menurut Aloyah, penumpang lelaki yang menggunakan pasport curi milik warga Itali, Luigi Maraldi juga direkodkan tiba ke negara ini juga pada 28 Februari kira-kira jam 8.31 malam.

-metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");