Jenayah

Pencuri masuk lalu belakang

pencuri masuk

SELAYANG – Deretan kedai milik Majlis Perbandaran Selayang (MPS) di jalan besar Selayang Baru sering dimasuki pencuri yang menggunakan laluan belakang kedai.

Terbaru melibatkan sebuah kedai makan apabila pemiliknya kerugian RM2,000 setelah lapan tong silinder dan beberapa kotak minuman ringan dilarikan dengan mengumpil tingkap kedai tersebut.

Ketua Biro Komuniti Kaum Tiong Hwa JKKK Selayang Baru yang juga peniaga, Liow Kok Tee, 58, berkata, kedainya dimasuki pencuri dua kali dan kerugian RM4,000 apabila beberapa kotak kambing sejuk beku dicuri.

“Selepas Tahun Baru Cina Februari lepas, tingkap kecil yang dah dipasang jeriji dirosakkan penjenayah untuk masuk kedai. Jadi saya terpaksa menyimennya terus.

“Ini bukan kerja seorang sebab daging kambing sekotak beratnya 20 kilogram. Kalau diangkat keluar melalui tingkap kecil mesti perlu bantuan dua atau tiga orang,” katanya.

Kok Tee turut mendakwa, tindakan pemilik tanah persendirian bersebelahan kedai MPS yang tidak menutup pintu kawasan parkir bawah tanah antara punca kegiatan jenayah tersebut berulang.

“Saya mahu pihak MPS pantau semula struktur bangunan tersebut sama ada ikut pelan atau sebaliknya.

“Kami memang ada buat rondaan bersama Pasukan Keselamatan Kejiranan (PKK) namun hanya kawasan utama. Mana boleh ceroboh tanah persendirian,” katanya.

Tambahnya, boleh dikatakan kesemua deretan 12 kedai itu pernah dimasuki pencuri menyebabkan ada di antara mereka terpaksa gulung tikar dan berniaga di kawasan lain.

Seorang pengusaha bengkel, Wong Kian Yow, 26, yang telah dua tahun berniaga di situ mengakui kawasan tersebut menjadi sasaran pencuri.

“Kawasan saya memang susah sikit mereka nak masuk kerana tingkap terhalang dengan struktur bangunan sebelah. Lagipun ia agak tinggi dan terletak di depan pintu masuk parkir kereta bawah tanah.

“Bagaimanapun saya tetap berwaspada tidak meninggalkan barangan penting dan berharga dalam kedai sementara tingkap telah dipasang jeriji sebagai perlindungan peralatan dalam bengkel,” katanya.

-Sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");