Berita Hari Ini
Like

Penuntut Jepun kagumi adat, budaya Kelantan

March 5, 2014
138 Views
0 Comments
2 minutes read
Penuntut Jepun kagumi adat, budaya Kelantan

kagumi budaya

BACHOK –  Program Silang Budaya Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Di Mata Dunia membawa lima penuntut Oita Prefectural College of Arts and Cultural (OPCAC) menyelami cara hidup dan adat budaya di Kelantan.

Hasil susunan program berkenaan, semua penuntut itu teruja merasai pengalaman baharu di sini, selain dibawa tinggal bersama keluarga angkat di inap desa Kampung Kubang Telaga, Jelawat, selama beberapa hari.

Masako Ohara, 69, berkata, dia sangat mengagumi seni dan kebudayaan Kelantan serta  berpuas hati dengan kemudahan disediakan sepanjang berada di negeri ini.
“Saya juga boleh menikmati masakan pedas yang sedap walaupun kami kurang sukakan masakan pedas.

“Ia pengalaman berharga dan saya gembira dapat datang ke sini,” katanya.

Bagi Shiori Nakasu, 19, berkata, dia seronok dapat bergaul dengan pelajar UMK dan penduduk kampung yang sangat peramah.

Manakala, bagi pelajar UMK pula, Siti Maizura Salim, 22, dia juga teruja dapat berkongsi pengalaman sepanjang tinggal bersama penuntut dari Jepun dan keluarga angkat di Kubang Telaga.

“Bukan selalu kami dapat peluang untuk bersama dengan orang luar yang berbeza adat budaya. Kami seronok dapat melakukan aktiviti bersama-sama sepanjang program berlangsung,” katanya ketika ditemui pada majlis persembahan kebudayaan penuntut Jepun bersama penduduk di Kampung Kubang Telaga, di sini, kelmarin.

Sementara itu, Pengarah Pusat Pengajian Bahasa dan Pembangunan Insaniah UMK, Prof Dr Farok Zakaria berkata, program berkenaan adalah kali kedua diadakan dan penuntut Jepun itu telah menjalani aktiviti bersama pelajar UMK dan penduduk sejak 22 Februari lalu.

“Program ini turut mendapat kerjasama Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Kelantan.  Ketika di Kelantan mereka mempelajari bahasa Malaysia, tarian muzik dan aktiviti masyarakat khususnya ketika berada bersama keluarga angkat di inap desa Kubang Telaga.

“Mereka juga berpeluang melihat pertunjukan silat tradisional, bawa mereka ke sawah untuk menangkap ikan dan melihat proses menanam padi,” katanya.

-Sinar harian

Komen & Pendapat

Leave a Reply