Isu Panas

Perbalahan pakatan jadi kelebihan BN – Muhyiddin

muhyiddin yassin

KAJANG: Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata perbalahan besar dalam pakatan pembangkang yang cuba disembunyi daripada pengetahuan rakyat memberi kelebihan kepada Barisan Nasional (BN) bagi membuat kejutan pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang, 23 Mac ini.

Timbalan Perdana Menteri berkata, sehubungan itu kempen BN akan turut menonjolkan kemelut yang dihadapi pembangkang itu.

“Pakatan pembangkang fikir mereka gabungan yang mantap sedangkan jelas berlaku perbalahan besar, sama ada dari segi dasar mahupun antara kepimpinan.

“Jadi ini peluang besar untuk kita laksanakan gerakan lebih ofensif bagi menjelaskan perkara yang dibangkitkan lawan mengenai BN, selain isu yang membelenggu pakatan itu,” katanya kepada pemberita selepas selesai penamaan calon bagi pilihan raya kecil (PRK) DUN Kajang di Kompleks Sukan Majlis Perbandaran Kajang di Bandar Baru Bangi hari ini.

Hadir sama, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai; Presiden MIC, Datuk Seri G Palanivel dan ketua-ketua sayap Wanita, Pemuda, dan Puteri UMNO.

Pilihan raya itu menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon BN, Datin Paduka Chew Mei Fun dan Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Muhyiddin yang juga Timbalan Pengerusi BN, turut menarik perhatian bahawa pertembungan satu lawan satu itu bukanlah halangan untuk mencipta kejutan kerana jentera parti telah bergerak di semua 16 Pusat Daerah Mengundi (PDM).
Katanya, Chew juga turun hampir di semua PDM bagi menerangkan dasar dan perancangan kerajaan serta mematahkan serangan yang dibangkitkan lawan terhadap BN.

Muhyiddin juga yakin kelebihan dari segi integriti dan pengalaman yang dimiliki calon BN itu sama ada di peringkat parti mahupun kerajaan mampu menarik perhatian pengundi bagi memilih Chew kelak.

“Saya percaya pemilihan Chew adalah satu keputusan tepat kerana beliau seorang yang ada kredibiliti, integriti dan pengalaman yang cukup luas.

“Kerana itu saya yakin beliau perlu dan boleh diundi sebagai individu yang akan mewakili penduduk di Kajang,” katanya.

Ditanya sama ada bentuk kempen BN bakal diubah selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak jadi bertanding, Muhyiddin berkata sedikit perubahan perlu dilakukan bagi disesuaikan dengan lawan yang bakal dihadapi, namun itu bukanlah satu halangan yang besar

Mengenai persediaan BN bagi menghadapi kemungkinan PKR mengeksploitasi keputusan mahkamah yang dikenakan ke atas Anwar sebagai bahan kempen, Timbalan Perdana Mnteri berkata beliau yakin rakyat faham mengenai peranan dan ketelusan mahkamah.

Malah masyarakat juga tahu kes itu sudah lama berlarutan dan tentunya tidak ada kaitan dengan pilihan raya kecil ini, katanya.

Beliau juga menolak dakwaan persidangan Parlimen yang sedang berlangsung ketika ini boleh mengganggu kelancaran kempen kedua-dua parti bertanding.

“Parlimen tetap akan berlangsung seperti biasa, malah kempen pilihan raya yang diadakan ketika Parlimen bersidang juga bukanlah sesuatu yang luar biasa kerana perkara sama pernah berlaku sebelum ini,” katanya.

– BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");