Berita Hari Ini

Perkongsian maklumat penting elak pertindihan

datuk seri G.Palanivel

PUTRAJAYA – Kerjasama kerajaan dan swasta dalam perkongsian maklumat geospatial adalah mustahak untuk mengelakkan pertindihan usaha dalam perolehan data di lapangan.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri G. Palanivel berkata, usaha itu juga dapat menjimatkan jutaan ringgit wang negara.

“Usaha mengarusperdanakan maklumat geospatial melalui pengurusan sumber yang cekap perlu diberi perhatian serius di setiap peringkat agensi kerajaan, industri, komuniti serta pihak yang terlibat dalam aktiviti geospatial,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Simposium Maklumat Geospatial Kebangsaan ke-6 (NGIS Ke-6) di sini, hari ini. Majlis turut dihadiri Timbalannya, Datuk Seri James Dawos Mamit serta Ketua Setiausaha kementerian Datuk Seri Zoal Azha Yusof.

Menurut Palanivel maklumat geospatial kini diiktiraf oleh kerajaan sebagai sumber penting yang menyokong pembangunan ekonomi, sosial dan alam sekitar.

Mengenai simposium yang bertemakan ‘Geospatial Pemacu Wawasan Negara’ itu, Palanivel berkata tema program adalah relevan selaras dengan agenda nasional dalam memacu Program Transformasi Kerajaan untuk merealisasikan negara berpendapatan tinggi.

Simposium selama dua hari itu adalah platform bagi perkongsian pendapat, pengalaman dan kepakaran sektor awam dan swasta mengenai isu-isu geospatial.

Terdahulu, Palanivel menyampaikan anugerah geospatial kepada Jabatan Kerja Raya selaku pemenang peringkat kebangsaan, kerajaan Pulau Pinang (peringkat negeri) dan Perbadanan Putrajaya (pihak berkuasa tempatan).

Tiga agensi yang mendapat anugerah kecemerlangan geospatial ialah Jabatan Metereologi Malaysia, Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia serta Telekom Malaysia. – Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");