Jenayah

Rahsia premis judi terbongkar

premis judi

BANDARAYA MELAKA –  Disangka tempat persembunyian GRO warga asing, namun sebenarnya ia merupakan pusat perjudian internet haram yang turut dilengkapi senjata tajam.

Itulah yang berlaku pada Operasi Bersepadu Majlis Bandaraya Melaka Berserajarah (MBMB) bersama lima jabatan dan agensi penguat kuasa semalam, apabila berjaya membongkar kewujudan sebuah perjudian internet.

Tindakan anggota Jabatan Imigresen Melaka memecah masuk premis yang disangka menyembunyikan warga asing membongkar kewujudan sebuah pusat perjudian internet tidak sah bersebelahan sebuah pusat hiburan di Malim Jaya.

Lebih mengejutkan, terdapat seorang penjaga pusat siber bersama tiga lelaki lelaki dipercayai kaki judi termasuk dua ditemui sedang bersembunyi di belakang premis berkenaan ketika serbuan dilakukan kira-kira 3 pagi itu.

Pemeriksaan lanjut terhadap keempat-empat lelaki berusia 20 hingga 38 tahun itu oleh penguat kuasa Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) mendapati penjaga premis merupakan bapa kepada lapan anak yang mendakwa baru sebulan bekerja di situ dan positif dadah jenis methampetamin.

Menurut sumber, tindakan pecah masuk itu dilakukan berikutan penguat kuasa Imigresen mengesyaki terdapat warga asing di dalam premis tersebut selepas membuat pemeriksaan terhadap lima GRO warga Vietnam di pusat hiburan bersebelahan.

Menurut sumber, selain Jabatan Imigresen dan AADK, operasi yang bermula kira-kira 11.45 malam itu turut disertai anggota penguat kuasa Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Kesihatan negeri yang membabitkan serbuan di enam lokasi berasingan termasuk pusat urut, hotel bajet dan pusat hiburan.

“Ops Bersepadu kira-kira empat jam ini turut memberi kejutan apabila dua bilah pedang dan sebilah pisau Rambo turut ditemui disimpan masing-masing di bawah meja dan di dalam laci kaunter di pusat hiburan yang kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

“Penjaga premis berusia 22 tahun yang mendakwa senjata tajam itu milik majikannya bagaimanapun ditahan bagi membolehkan siasatan lanjut dilakukan polis,” katanya kepada Sinar Harian  di sini, semalam.

Sumber berkata, seorang lelaki berusia 22 tahun bersama tiga lelaki lain yang cuba melarikan diri sebaik sahaja penguat kuasa tiba di hadapan pusat hiburan itu.

Bagaimanapun, katanya, dia berjaya ditangkap sebelum pemeriksaan lanjut dilakukan menjumpai buku lima dalam beg silang milik lelaki yang mendakwa baru setengah jam duduk minum bersama rakannya di situ.

“Terdahulu Jaim menahan tiga pasangan berusia 18 hingga 21 tahun ketika serbuan di sebuah hotel bajet yang turut menempat sebuah restoran, spa dan KTV Karaoke di Melaka Raya kira-kira 1.30 pagi.

“Pasangan berusia 21 tahun yang bekerja di sebuah pasar raya antara ditahan apabila mereka mengakui kononnya pasangan suami isteri, namun  gagal mengemukakan surat pengakuan nikah.  Malah, sehelai seluar dalam wanita turut ditemui di atas katil bilik berkenaan ketika serbuan,” katanya.

Sementara itu, Datuk Bandar MBMB, Datuk Zainal Abu berkata, pihaknya menyita 30 monitor dan 27 unit pemprosesan pusat (CPU) hasil serbuan di pusat judi berkenaan yang didapati tidak memiliki lesen perniagaan.

“Jaim mengeluarkan dua saman kepada pelanggan dan satu surat siasatan diserah kepada operator premis, malah ujian air kencing oleh AADK turut mendapati seorang daripadanya positif dadah.

“Hasil serbuan, dua lelaki dipercayai memiliki senjata turut ditahan polis, manakala lima warga Vietnam ditahan Jabatan Imigresen kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan sah dan menyalah guna pas lawatan,” katanya.

Menurutnya, tiga pasangan kekasih turut ditahan Jaim bagi membantu siasatan selepas didapati melakukan kesalahan berkurung yang mendatangkan syak di bawah Seksyen 53, Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991.

-Sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");