Jenayah

Remaja hilang ditemui selamat

ditemui selamat

JASIN – Seorang remaja, Athirah Roshelmy, 16, yang hilang sejak empat hari lalu ditemui dalam keadaan selamat berhampiran Pejabat Fama Merlimau di sini, awal pagi semalam.

Bapanya, Roshelmy Md Sharif, 42, berkata, anak sulung daripada lima beradik itu ditemui sekumpulan anggota rukun tetangga di kawasan berkenaan dalam keadaan tidak bermaya bersama basikalnya sebelum dibawa ke Balai Polis Merlimau, di sini kira-kira jam 3 pagi.

Menurutnya, dia dimaklumkan mengenai penemuan anaknya itu selepas anggota polis ke rumahnya pagi semalam, sebelum dia dan isteri bergegas ke balai polis untuk menjemput anaknya.

“Alhamdulillah saya bersyukur Athirah ditemui dengan selamat walaupun ketika ditemui keadaannya lemah kerana demam dan tidak makan sejak keluar dari rumah Khamis lalu.

“Pemeriksaan kesihatan turut dilakukan dan syukur tiada kejadian tidak diingini menimpanya,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Roshelmy berkata, selepas keluar dari rumah Khamis lalu, anaknya bersembunyi di bawah jambatan di Sungai Rambai dan sejak itu dia tidak menjamah sebarang makanan kerana tidak mempunyai wang.

“Sebelum ditemui Athirah dalam perjalanan pulang ke rumah dengan mengayuh basikal, namun disebabkan tidak makan dan demam dia berhenti di lokasi berkenaan sebelum ditemui ahli rukun tetangga.

“Saya percaya Athirah melarikan diri dari rumah selepas tertekan dengan keputusan Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang diperoleh,” katanya.

Sinar Harian semalam, melaporkan seorang remaja hilang selepas keluar rumah dengan menunggang basikal dan kali terakhir dilihat di kawasan Masjid Merlimau Pasir kira-kira 7.20 pagi Khamis lalu.

-Sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");