Berita Hari Ini

Rundingan agihan kontrak Rapid akan dimuktamad

kontrak rapid

JOHOR BAHRU – Kerajaan negeri bakal memuktamadkan rundingan dengan Petroleum Nasional Bhd (Petronas) mengenai pengagihan kontrak Pembangunan Integrasi Penapisan dan Petrokimia (RAPID) di Pengerang, Johor, dalam masa terdekat.

Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata jumlah peratusan mengenai pengagihan tersebut belum lagi diputuskan tetapi secara prinsipnya syarikat petroleum negara itu telah bersetuju akan pentingnya peluang diberikan kepada kontraktor dan usahawan Bumiputera dan tempatan.

“Kita sedang berunding dengan pihak Petronas dan kita menjangkakan mendapat keputusan yang positif dari itu, yang mana dalam soal ini kita sudah lantik Datuk Hasni Mohamad (Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya dan Pembangunan Luar Bandar) untuk melihat bagaimana untuk mengagihkan projek atau kontrak tersebut bila ia dilaksanakan,” kata beliau kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, beliau merasmikan Wisma Persatuan Kontraktor Melayu Negeri Johor di sini.

Khaled berkata keputusan rundingan selewat-lewatnya tahun ini.

Bagi kontraktor Bumiputera negeri ini yang berminat dengan projek Rapid ini, mereka diminta mendaftarkan diri supaya boleh dinilai dari segi kelayakan dalam mendapatkan kontrak tersebut.

Menurut laporan berita sebelum ini, Petronas dijangka membuat keputusan mengenai pelaburan akhir RAPID, akhir bulan ini.

Projek RAPID yang bernilai RM60.6 bilion itu antaranya meliputi pembinaan terminal simpanan minyak, loji penapisan minyak, loji petrokimia dan jeti laut dalam.

Bakal siap sepenuhnya pada 2016, projek itu bakal menjadikan Pengerang sebagai hab industri minyak dan gas terbaharu di Asia Tenggara.

Sementara itu, Khaled meminta semua syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) terutama di negeri Johor supaya meletakkan sasaran petunjuk prestasi utama (KPI) untuk melatih sekurang-kurangnya 10 syarikat Bumiputera setiap tahun.

“Daripada situ, kita akan pastikan ketulenan program-program untuk membesar dan memantapkan syarikat-syarikat Bumiputera ini. GLC dan GLIC kena letak syarikat mana yang telah dilatih, kita nak tengok (keberkesanannya),” kata beliau.

Bagi pembangunan jangka panjang kontraktor Bumiputera negeri ini pula, Khaled berkata satu pelan induk bakal dirangka oleh Unit Perancang Ekonomi Johor yang akan memberi panduan mengenai pertumbuhan dan hala tuju berterusan sektor berkenaan. – Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");