Membawang Hari Ini

Selebriti ajak dekati agama

Majlis sidang akhbar Malam Cinta Allah dan Rasul 2014BARISAN para selebriti yang akan turut serta dalam program Selawat Perdana 1435H – Malam Cinta Allah dan Rasul. (Dari kiri) Adam Corrie, Johan As’ari, Aziz M Osman, Rosyam Nor, Adi Putra dan Jobot Maheran.

PROGRAM Selawat Perdana 1435H – Malam Cinta Allah dan Rasul bakal menyaksikan penglibatan sebahagian selebriti terkenal tempatan turut sama mengambil bahagian menyokong program berbentuk keagamaan itu.

Peranan selebriti bukan sahaja untuk berhibur tetapi kehadiran mereka mempunyai kuasa besar mengajak orang ramai untuk mendekatkan diri dengan Allah dan Rasul.

Secara tidak langsung program tersebut mendapat publisiti meluas apabila menerima sokongan daripada ikon selebriti yang semakin hari semakin ramai menyertai program berbentuk keagamaan.

Program tersebut bakal menggegarkan Dataran Masjid Putra, Putrajaya dengan alunan selawat, zikir dan qasidah pada 21 Mac ini bermula pukul 8 malam.

Majlis ilmu bertemakan Kesatuan, Perpaduan dan Persaudaraan itu menampilkan ikon agama nusantara dan pendakwah terkenal, Habib Syech Abdul Qodir As Seggaf serta Habib Ali Zaenal Abidin.

Program yang menyasarkan 500,000 pengunjung itu dianjurkan bagi menghimpunkan umat Islam terutama golongan muda supaya mengagungkan kebesaran Allah dan menjadikan Rasulullah sebagai ikon.

Program ini bukan hanya mendapat sokongan daripada ikon agama, malah barisan selebriti tanah air seperti Zizan Razak, Mawi, Adira, Nora Danish, Erra Fazira, Shahir, Nabil Ahmad, Rita Rudaini, Johan As’ari, Hazama, Fizz Fairuz, Angah Raja Lawak, Jep Sepahtu, Tomok, Zahida Rafik, Irma Hasmie, Faizal Ismail, Puteri Sarah Liyana, Mila Jirin, Yatt Hamzah dan Fiffy Natasha akan turut serta dalam program Selawat Perdana.

Turut mengambil bahagian ialah Datuk Rosyam Nor dan Adi Putra. Kehadiran pelakon popular tanah air itu secara tidak langsung akan memanggil himpunan peminat mereka untuk membanjiri tapak program.

Sensasi Bintang mendapatkan reaksi dua pelakon itu untuk berkongsi cerita mengenai pembabitan mereka dalam menghadiri program berkenaan.

Sensasi Bintang: Apa yang mendorong kalian untuk terlibat dalam program Selawat Perdana ini?

ROSYAM NOR (R): Sebagai hamba Allah kita bukan sahaja diseru untuk menghadiri majlis ilmu yang besar-besaran sahaja tetapi kita sebagai umat Islam boleh melakukan selawat dalam kalangan keluarga mahupun seorang diri kerana itulah yang diminta oleh agama agar kita peroleh syafaat dan rahmat daripada Allah. Setiap umat Islam digalakkan untuk menghadiri majlis ilmu. Insya-Allah saya akan hadir bersama keluarga pada malam itu nanti.

ADI PUTRA (A): Saya secara peribadi menyokong program ini diadakan. Namun, pada 21 Mac ini saya berada di Mekah untuk menunaikan umrah. Sebenarnya program Selawat Perdana ini bukan untuk orang lain tetapi untuk diri sendiri dalam mendekatkan diri dengan Allah dan Rasul. Saya berharap anda semua akan datang dengan hati yang terbuka untuk sama-sama memeriahkan lagi program ini.

Apakah sumbangan kalian untuk menarik rakyat Malaysia untuk datang menyokong program sebegini?

R: Sebenarnya, sebagai selebriti saya mengharapkan rakyat Malaysia akan turut serta menghadiri majlis tersebut. Kalau kita boleh hadir ke konsert penyanyi Barat mahupun tempatan apalah salahnya untuk datang beramai-ramai menunjukkan rasa kecintaan terhadap Allah dan mengingati Rasul. Tidak salah rasanya untuk meluangkan masa yang sedikit ini untuk sama-sama memperhebatkan malam yang penuh barakah. Saya akan menggunakan kaedah laman sosial sebagai inisiatif untuk menarik rakyat Malaysia untuk turut serta dalam program ini.

A: Tiada sumbangan yang dapat diberikan kerana saya tiada di Malaysia ketika program berlangsung. Namun, sumbangan saya kali ini dalam berbentuk doa dari kota Mekah. Saya akan berdoa di beberapa tempat mustajab agar majlis itu akan dihadiri oleh seluruh umat yang beragama Islam di Malaysia. Selain itu, saya akan mendoakan program Selawat Perdana akan berjalan dengan lancar dan dipermudahkan.

Pandangan kalian tentang kurangnya didikan ilmu agama dan kerohanian dalam kalangan rakyat Malaysia?

R: Sebenarnya kita tidak boleh katakan kekurangan ilmu dalam diri seseorang kerana kita tidak boleh lihat kebaikan seseorang itu dalam mendekatkan diri dengan Tuhan dan kecintaan terhadap Rasul. Menghadiri program sebegini perlu ada dalam diri setiap individu yang bergelar Islam kerana pada satu ketika nanti kita pasti akan mati. Oleh itu, marilah kita mempersiapkan diri untuk menghadiri majlis ilmu ini sebagai satu landasan untuk menemui Allah selain daripada solat dan bersedekah kerana ini adalah perkara yang baik yang harus dilakukan oleh setiap manusia.

A: Untuk bercakap mengenai soal agama ini sangat sensitif dan subjektif. Dua perkara yang saya pegang sehingga ke hari ini adalah peliharalah solat dan membantu orang yang lemah. Saat Rasulullah nazak, baginda berpesan jangan lupakan solat berkali-kali. Saya kira itu sangat jelas untuk memberitahu sebagai hamba Allah kita mampu berubah ke arah kebaikan.

Apakah peristiwa yang menyebabkan kalian mahu lebih dekat untuk mendekati agama dan Pencipta?

R: Pernah suatu ketika dahulu saya bermimpi diheret ke pintu neraka tetapi syukur itu hanyalah mimpi yang menakutkan. Saya memohon kepada Tuhan agar mimpi itu tidak berlaku kepada diri saya. Selain itu, saya pernah kehilangan bapa, abang dan adik. Dari situ timbul rasa insaf bahawa satu hari nanti giliran saya pula akan menyusul.

A: Saya bersyukur kerana tiada peristiwa pelik yang berlaku namun sebagai hamba Allah sudah menjadi kewajipan untuk sentiasa mentaati dan menjauhkan diri daripada melakukan perkara yang mungkar.

– KOSMO

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");