Jenayah

Sempat ajar mangsa mengucap

kemalangan jln raya 5

TAMPIN – “Sebaik lori berhenti saya terus berlari keluar dan menuju ke arah mangsa yang kelihatan seperti nyawa-nyawa ikan. Saya periksa nadi di pergelangan tangannya dan melihat nafas turun naik mangsa lalu mengajar mangsa mengucap,” luah pemandu lori, Jamaludin Mohamed, 51, ketika ditemui di lokasi kemalangan di kilometer 43, Jalan Tampin-Gemas, dekat sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 11 pagi itu, mangsa, Syekh Mohd Haikal Daud, 29, maut di tempat kejadian selepas kereta yang dipandunya dirempuh sebuah lori.

Mangsa yang memandu kereta jenis Proton Perdana cedera parah di bahagian kepala dan badan, manakala isterinya cedera.

Jamaludin berkata, ketika kejadian dia berasa sangat cemas apabila melihat darah mengalir tidak henti-henti dari hidung mangsa dan keadaan mata mangsa yang pecah serta isteri mangsa pula sedang menangis meminta pertolongan.

“Kejadian ini berlaku selepas sebuah kereta Perodua Viva dari arah Gemencheh masuk ke laluan saya sebelum bergesel dengan lori saya.

“Selepas itu, lori saya berpusing serta masuk ke laluan bertentangan sebelum merempuh kereta dinaiki mangsa,” katanya.

Katanya, selepas itu, ada sebuah lagi kereta jenis Toyata Unser merempuh bahagian belakang lorinya.

Pemandu kereta Toyota Unser, Mazri Mohamad, 47, ketika kejadian, dia bersama empat ahli keluarganya dalam perjalanan dari arah Gemencheh ke Gemas.

“Anak-anak saya menjerit dan kami menyelamatkan diri dengan merebahkan badan ke arah kiri bagi mengelak bahagian lori mengenai saya,” katanya yang bersyukur mereka sekeluarga selamat.

Sementara itu, bapa mangsa, Daud Mohamad Din, 70, yang menetap di Segamat berkata, dia menerima panggilan daripada menantunya, Munirah Harun, 26, yang memaklumkan anaknya maut dalam kemalangan.

Menurutnya, dia yang terkejut bergegas bersama isteri, Salmah Abdullah, 60, ke lokasi kemalangan dan kali terakhir dia suami isteri berjumpa arwah adalah pada tiga hari lalu ketika arwah datang di warungnya.

“Arwah adalah anak ketiga daripada empat adik beradik bersalaman mencium tangan seperti biasa dan sempat memberi duit kepada isteri saya sebanyak RM500.

“Jika diikutkan kami sememangnya terkejut, namun reda dengan ketentuan Ilahi lebih-lebih lagi anak sulung saya juga meninggal akibat kemalangan jalan raya pada tahun 1999,” katanya.

Jurucakap polis berkata, berdasarkan siasatan awal sebuah kereta jenis Perodua Viva yang dipandu seorang lelaki berusia 27 tahun dalam perjalanan dari Melaka ke Segamat masuk ke laluan bertentangan dan bergesel dengan sebuah lori.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tampin untuk proses bedah siasat dan isterinya dikejarkan ke klinik di Gemas bagi rawatan lanjut.

-Sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");