Membawang Hari Ini

The Journey filem berwajah Malaysia

berwajah malaysia

TANPA promosi besar-besaran atau taruhan pelakon terkenal, The Journey membuktikan hanya berbekalkan sebuah jalan cerita yang santai dengan menerapkan elemen kekeluargaan dan kasih sayang, mampu menarik ramai penonton ke pawagam.

Dan biarpun sudah lebih sebulan ditayangkan, filem The Journey masih menerima sambutan hangat dengan kutipan sudah mencecah RM15 juta.

Ia sekali gus menyaksikan filem arahan Chiu Keng Guan ini berjaya mengalahkan filem aksi arahan Syamsul Yusof, KL Gangster pada tahun 2011.

Filem terbitan Astro Shaw ini mengisahkan Uncle Chuan yang berpegang teguh pada adat berasa kecewa apabila anak tunggalnya, Bee ingin berkahwin dengan jejaka Inggeris, Benji selepas sedekad menuntut di United Kingdom.

Bagaimanapun kerana kasih seorang bapa, Chuan bersetuju tetapi dengan syarat. Mereka harus berkompromi dengan keinginannya untuk mengadakan majlis mengikut tradisi.

Malah cara mengundang tetamu juga konvensional dan konservatif iaitu mereka sendiri harus menyerahkan kad jemputan tidak kira di mana lokasinya. Lalu bermulalah perjalanan Chuan dan bakal menantunya merantau ke pelosok tempat.

Tanpa mereka sedar, penjelajahan itu bukan sekadar misi jemputan ke kenduri kahwin, sebaliknya perjalanan mereka mengenal diri dan satu sama lain.

Biarpun hanya memaparkan masyarakat Cina dan Melayu, namun pada pandangan penulis, ia masih menggambarkan masyarakat Malaysia yang berbilang kaum dan hidup bersama dengan harmoni.

Apatah lagi, ‘perjalanan’ mereka ke beberapa tempat di dalam filem ini secara tidak langsung dapat mendekatkan penonton dengan budaya masyarakat di sesuatu tempat.

Sinematografi indah

Bukan sahaja dari sudut jalan cerita yang mengetengahkan konsep kekeluargaan, salah satu titik istimewa di dalam filem ini adalah sinematografi yang cukup mengagumkan.

Apatah lagi dalam keghairahan pengarah membikin sebuah filem, ada kalanya mereka terlupa untuk menyelitkan beberapa gambaran indah di desa yang jarang dapat kita lihat, lebih-lebih lagi bagi masyarakat bandar.

Malah, biarpun hanya mempertaruhkan lokasi di Cameron Highland dan sawah padi, namun ia sudah cukup membuatkan penonton terpegun dengan keindahan tempat-tempat yang dipaparkan biarpun ia pernah dilihat sebelum ini.

Begitu juga dengan suasana pantai yang cukup romantis. Syot-syot ini biarpun ringkas, namun sudah cukup meninggalkan momen yang tersendiri buat penonton.

Lakonan mantap

Selain itu, biarpun mempertaruhkan pelakon asing dan tidak dikenali, ia bukan alasan menjadikan filem Keng Guan ini menjadi tidak menarik atau cacat.

Watak Benji yang dilakonkan oleh Ben Andrew Pfeiffer itu sendiri contohnya, berjaya mencuit hati penonton apabila dia nampak benar-benar tidak memahami budaya Malaysia dan harus belajar memahaminya.

Begitu juga dengan watak seorang bapa yang dijayakan Lee Sai Peng. Peranannya yang bersahaja sebagai seorang bapa dengan ‘ego’ yang ditunjukkan pada lelaki ‘asing’ dalam hidup anaknya sudah cukup menggambarkan sifat bapa sebenar yang amat cerewet mengenai lelaki yang bakal menjadi menantunya.

Namun dalam diam, perlahan-lahan menerima demi kebahagiaan anak tercinta.

Justeru bagi anda yang dahagakan sebuah karya yang cukup artistik dan ada nilai komersialnya, jangan lupa untuk menyaksikan filem The Journey di pawagam segera.

-Sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");