Berita Hari Ini

Wan Hashim bakal diiktiraf Book of Records

wan hashim

KOTA BHARU – Pengayuh basikal solo warga emas, Wan Hashim Wan Mahmood yang berjaya mengelilingi Semenanjung Malaysia dalam tempoh 28 hari pada bulan lepas, bakal mendapat pengiktirafan dalam ‘Malaysia Book of Records’ (MBR).

Wan Hashim, 68, bakal diiktiraf sebagai ‘Pengayuh Basikal Tertua Mengelilingi Semenanjung Malaysia’ oleh MBR pada satu majlis khas yang akan diadakan pada 30 April depan.

“Saya telah mendapat surat daripada MBR yang memaklumkan saya akan menerima pengiktirafan itu minggu lalu dan saya rasa bersyukur kerana misi saya diiktiraf oleh MBR.

“Selain dapat bertemu dengan Tun Dr Mahathir Mohamad (semasa kayuhan) dan diberikan pengiktirafan ini, ia sebenarnya memberikan azam yang cukup kuat untuk saya meneruskan misi yang lain sebelum saya memejamkan mata,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Warga emas itu dalam misinya yang bermula di sini pada 26 Januari lalu telah berkayuh merentasi Kelantan, Terengganu, Johor, Singapura, Melaka, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur, Selangor, Perak, Pulau Pinang, Kedah, Perlis dan memasuki Selatan Thailand dengan kenderaan sebelum meneruskan kayuhan dari sempadan menyeberangi Sungai Golok ke Rantau Panjang.

Dalam penjelajahannya itu, Wan Hashim selain bertemu Tun Dr Mahathir pada 10 Februari lalu di Putrajaya, turut diraikan Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail di Chuping, Perlis pada 26 Februari.

Mengulas misinya selepas ini, datuk kepada 18 cucu itu kini dalam perancangan untuk berbasikal mengelilingi England yang dijangka pada Jun atau Julai ini.

“Saya sedang membuat persiapan ke arah itu. Saya ada anak yang menetap di sana. Saya kena ambil kira pelbagai perkara seperti cuaca dan soal keselamatan untuk mengelilingi England,” katanya.

Selain itu Wan Hashim juga akan membukukan pengalamannya berkayuh mengelilingi Semenanjung itu untuk tatapan generasi akan datang.

“Dalam umur saya yang sebegini diharapkan dapat memberikan semangat kepada generasi baharu untuk melakukan sesuatu yang dibanggakan untuk diri dan negara,” katanya. – Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");