Membawang Hari Ini

Zon Selesa Zara Zya

Zara

MEMILIH seni sebagai jalan hidup, kecintaan yang perlahan-lahan disemai sejak sedekad lalu sedang membuahkan harapan. Zara Zya kini umpama si bunga yang sedang mekar. Di daerah lakonan yang menjadi kebun kembang kelopaknya, Zainurul Razia Mohd. Zainuddin, 29, itu sedang menebarkan wangi.

Namanya disebut, penangannya sebagai Zaara Amirah dalam siri hit, Love You Mr. Arrogant dikenang-kenang sebagai buah karya ulung yang menyaksikan kehebatan pesona Zara Zya. Awalnya sekadar pelakon yang tidak pernah ada dalam senarai ‘panas’, era suam-suam kuku Zara Zya mula pupus.

Lonjakan paling nyata, bersama regu heronya, Azlee Khairi, mereka dipilih sebagai Hero dan Heroin Pilihan dalam Festival Drama Kuala Lumpur anjuran TV3, Februari lalu. Drama lakonan mereka pula diundi peminat sebagai Drama Pilihan.

Melihat menerusi kaca mata industri secara serius, apalah ertinya pencapaian dalam sebuah anugerah yang melebih-lebihkan populariti itu berbanding kualiti. Namanya dikompang satu negara walhal baru dinilai hanya daripada sebuah drama. Apa sangat nilainya sebuah drama sehingga seorang dramatis biasa menjana impak sebegitu rupa.

Zara tersenyum tanpa prasangka. Dia lebih sedar situasi yang cuba diungkitkan. Kalau sekadar pembaca dijamu cerita yang sama, ‘barang’ yang elok lama-lama boleh mengundang mual.

“Sebenarnya, bulan ini saya banyak bercuti,” ungkapnya terhenti seketika sambil membetulkan posisi duduknya.

Zara faham apa yang cuba diselidik dalam pertemuan pertamanya bersama Sensasi Bintang kali ini. Kali pertama diajak sebagai penghias portfolio minggu ini, Zara tidak sukar memberikan kerjasama. Kebetulan pula jadual padatnya hanya bermula pada 1 April nanti.

Ubat rindu

Sehabis drama yang mencurahkan impak populariti ke wajahnya, lulusan bidang teater dari Akademi Seni Warisan Negara (Aswara) hilang di kaca televisyen. Sesekali muncul dalam acara hiburan, selebihnya wajah dan cerita yang terpampang dalam surat khabar, majalah dan blog hiburan.

“Saya tahu, selepas Love You Mr. Arrogant, peminat akan menunggu agak lama bagi menyaksikan lagi drama bersiri lakonan saya.

“Selepas drama itu menjadi hit, saya memang kena luangkan masa ikut banyak agenda stesen televisyen untuk bertemu penonton, jumpa media dan hadiri pelbagai acara. Jadi pelakon bukan macam penyanyi, drama dan macam lagu yang boleh dinyanyikan di mana-mana acara,” balasnya bijak.

Tanpa drama untuk tontonan peminat yang sedang mendambakan kelibatnya, Zara sedar situasi ini boleh mendatangkan banyak prasangka.

“Tapi saya yakin, kemunculan saya menerusi drama yang bakal menyusul akan dapat mengubati kerinduan peminat. Selepas drama Love You Mr. Arrogant, saya hanya boleh menerima tawaran telemovie. Nak ambil drama bersiri memang tak sempat.

“Ketika ini saya sedang menjalani penggambaran sebuah filem. Kiranya ini filem pertama yang letakkan saya sebagai pelakon utama. Sebelum ini dalam filem Azura 2012, saya buat watak sampingan sahaja,” ceritanya yang kini berada di lokasi penggambaran filem Goooollll terbitan Red Film Sdn. Bhd.

Kena kenan

Diganding bersama Shaheizy Sam, filem arahan Shamyl Othman itu turut dibintangi Zizan Razak, Zulin Aziz serta Sherry Alhadad. Sebelum ini, pelakon kelahiran Perak dan dibesarkan di Selangor itu juga pernah muncul dalam drama-drama seperti Tanah Merah, Puisi Cinta Rubiah, Supermak, Tiga Budak Botak, Selipar Jepun Suria, 3 Janji dan Puteri Malam.

“Saya tidak boleh menidakkan impak drama Love You Mr. Arrogant, tapi pada masa yang sama saya tidak hanya mahu dikenang menerusi drama itu. Saya juga tidak mahu watak Zaara Amirah itu menjadi ‘kenan’ atau badi. Saya mahu jadi pelakon yang versatil,” katanya yang bakal muncul menerusi drama Delina di TV9 sekitar September nanti.

Untuk peminat yang sentiasa dahagakan perkembangan kariernya, Zara Zya akan memulakan penggambaran drama Delina menjelang 1 April ini.

“Delina akan jadi drama bersiri pertama saya selepas Love You Mr. Arrogant. Saya harap impaknya tidak akan mengecewakan,” kata pelajar jurusan teater itu menyusun hematnya.

Sudah adat menjadi popular, selain nama meniti di bibir ramai, pintu privasi yang selama ini tenang adakalanya bertalu-talu diketuk tanpa tetamu yang tidak diundang.

Keluar rumah pakai singlet

Menjadikan Instagram satu-satunya medium beramah-mesra dengan peminat, Zara Zya adakala tercabar oleh etika ‘tetamu mayanya’ yang kadangkala biadap.

“Saya seorang yang simple. Rasanya selain jadual kerja yang padat sehingga hendak bertemu keluarganya kadang-kadang tak sempat, saya masih Zara Zya yang dahulu. Cuma masa lepak dengan kawan-kawan semakin terbatas. Selama ini pun saya bukan jenis yang suka bersosial. Jadi tak banyak perkara yang hendak disembunyikan.

“Gaya pemakaian masih sama, bahkan saya sendiri perasan imej saya semakin sopan berbanding sebelum ini. Saya semakin tidak selesa jika sekadar memakai singlet untuk keluar dari rumah,” kata tulus.

Atas sebab itu juga, jika merasakan ada pihak yang sengaja mengeji atau mencetuskan provokasi sehingga melampaui batasan kesabaran, Zara tidak teragak-agak untuk menyekat individu berkenaan dari ruang ‘tamunya’.

“Saya akan sekat pengikut Instagram saya yang terlampau biadab. Memang saya boleh buat tak peduli, tapi kalau melampau dan berulang-ulang sehingga boleh buat saya hilang pertimbangan, lebih baik saya block. Daripada melatah atau atau berbalas komen yang akan memburukkan situasi yang lebih buruk, lebih baik sekat sahaja orang yang suka menimbulkan provokasi sebegitu,” katanya yang masih mengekalkan rekod tanpa kontroversi setakat ini.

Tegas namun tidak berbunyi angkuh, Zara mengakui biarpun masih tidak digugat oleh kisah kontroversi sebagaimana yang pernah melanda nama-nama artis popular selama ini, dia harus positif jika itu takdir bergelar artis.

“Jadi, saya anggap ujian-ujian saya ini terlalu kecil. Dugaan-dugaan awal sahaja. Tanpa peminat, tanpa orang yang ambil berat pasal penampilan dan imej saya, siapalah saya. Ini juga persediaan untuk saya berdepan cabaran yang lebih besar,” jelas Zara yang lebih banyak dikritik dari soal pemakaian oleh pengikut Instagramnya.

Rileks, tenang dan berhati-hati, itu antara tiga frasa yang akan menjadi pendinding hari-hari yang bakal ditempuhi Zara Zya. Perjalanan karier sedang bermula, kembaranya masih jauh tetapi tiada ramalan semudah A, B, C yang dapat menilaikan masa depan seseorang anak seni.

– KOSMO

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");