Berita Hari Ini

AirAsia tiada pilihan

air asiaKuala Lumpur: Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) sudah memenuhi hampir semua kehendak AirAsia Berhad (AirAsia) untuk syarikat itu beroperasi dari Terminal Penerbangan Tambang Rendah baru, KLIA2.

Pengurus Besar Kanan (Perkhidmatan Operasi) MAHB Datuk Azmi Murad berkata, syarikat penerbangan tambang rendah yang enggan berpindah ke KLIA2 dengan memberi pelbagai alasan termasuk keselamatan adalah antara penerima manfaat terbesar apabila beroperasi di KLIA2.

“Antara beberapa perkara yang dikehendaki AirAsia dan tidak dipenuhi MAHB ialah spa dan muzium,” katanya kepada BERNAMA dalam satu temu bual, baru-baru ini.

Berikutan operasi penerbangan di KLIA2 bermula pada 2 Mei dan Terminal Penerbangan Tambang Rendah (LCCT) sedia ada ditutup pada 9 Mei, AirAsia tiada pilihan melainkan beroperasi dari lapangan terbang baru itu.

Azmi berkata, pemindahan ke KLIA2 sudah dipersetujui semua pihak termasuk Jabatan Imigresen, Kastam Diraja Malaysia, polis serta pihak berkuasa kesihatan.

AirAsia, syarikat penerbangan tambang rendah terbesar Asia dijangka menggunakan 80 peratus lapangan terbang baru di Sepang.

Rabu lalu, Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Abdul Aziz Kaprawi mengumumkan LCCT akan ditutup pada 9 Mei, namun AirAsia menyuarakan rasa tidak puas hati dan tidak bersetuju berpindah ke lapangan terbang baru itu kecuali beberapa kehendaknya ditangani termasuk fungsinya dan jaminan keselamatan.

Menurut Azmi, MAHB sudah melaksanakan Ketersediaan Operasi dan Pemindahan Lapangan Terbang (ORAT), ujian bagi menguji aspek fungsi dan operasi sejak awal Februari dan ‘sangat berpuas hati’.

Beliau berkata, berharga RM4 bilion, KLIA2 yang akan mengendalikan 45 juta penumpang setahun dan disahkan oleh Jabatan Penerbangan Awam (DCA) sebagai ‘bukan lapangan tebang kos rendah, namun syarikat yang menggunakannya membabitkan penerbangan kos rendah.’ Mengenai kebimbangan dibangkitkan AirAsia dari segi keselamatan di KLIA2, Azmi berkata, KLIA2 lebih selamat berbanding LCCT memandangkan ia akan melaksanakan sistem pemprosesan penumpang seragam oleh SITA iaitu penyedia utama dunia bagi penyelesaian perniagaan teknologi maklumat (IT) bersepadu.

Katanya, AirAsia tidak mahu menggunakan sistem SITA yang digunakan oleh operator lapangan terbang dan menjadi pilihan semua syarikat penerbangan, sebaliknya mendesak untuk menggunakan sistem pemeriksaan masuk secara manual.

“Kita tidak boleh membandingkan KLIA2 dengan apa yang diguna pakai untuk operasi di LCCT kerana lapangan terbang itu adalah lapangan terbang manual sepenuhnya dengan pengurusan lapangan terbang dilakukan secara tradisional.

“Namun berdasarkan kapasiti penumpang yang besar yang dijangka dikendalikan oleh KLIA2, agak mustahil untuk beroperasi secara manual seperti dulu,” katanya dan menambah sistem SITA memberikan kemudahan dari segi kesinambungan perniagaan dan fleksibiliti di kaunter di KLIA2.

Mengenai jambatan udara yang didakwa AirAsia sebagai membazir, Azmi berkata, kemudahan itu penting untuk penumpang terutama bagi penumpang yang menghadapi masalah fizikal, warga tua dan ibu yang mempunyai anak kecil serta kanak-kanak.

“Ia juga sangat penting ketika cuaca buruk seperti hujan lebat atau ketika panas terik,” katanya.

Beliau berkata, caj semasa terhadap lapangan terbang untuk penggunaan jambatan udara itu hanya RM8 sekali guna. “Berdasarkan pesawat A320 yang membawa 180 penumpang ketika ketibaan atau berlepas, kos penggunaan kemudahan itu kurang daripada 25 sen bagi seorang penumpang.

“Kadar yang dikenakan oleh MAHB untuk jambatan udara itu antara yang terendah di rantau ini,” katanya.

– Harian Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");