Berita Hari Ini

Akta Orang-orang Papa 1977 akan disemak semula

gambar gelandanganSebahagian pegemis yang ditahan dalam operasi bersepadu menyelamat pengemis di Kuala Lumpur, malam semalam. Gambar: SAFWAN MANSOR:-

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat kini dalam proses menyemak semula Akta Orang-orang Papa 1977 sedia ada dengan cadangan memasukkan elemen penguatkuasaan di dalam akta berkenaan.

Semakan semula perlu dilaksanakan sebagai langkah membasmi kegiatan mengemis yang semakin serius dan mempunyai unsur sindiket.

Buat masa ini, akta sedia ada hanya terpakai untuk memberi perlindungan serta pemulihan terhadap pengemis yang berumur 60 tahun ke atas dan berumur antara 18 hingga 59 tahun yang jatuh di bawah kategori miskin tegar, daif dan tiada keluarga.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim memberitahu, kini terdapat segelintir masyakarat yang tidak bertanggungjawab telah mengekploitasi individu lain untuk mengemis demi kepentingan mereka atau berpura hidup susah dengan meraih simpati daripada orang ramai.

“Akta yang sedia ada hari ini hanya bersifat untuk memberi perlindungan dan pemulihan terhadap pengemis yang diselamatkan setiap kali operasi diadakan.

“Jadi sukar bagi kami mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap sindiket yang mengekploitasi individu lain untuk mengemis atau seseorang yang menjadikan mengemis ini sebagai karier.

“Ada di kalangan mereka dapat mengaut keuntungan mencecah ribuan ringgit sebulan walaupun mereka ini sihat tubuh badan atau mampu bekerja mencari pendapatan sendiri,” kata Rohani.

Beliau berkata kepada pemberita selepas menyertai satu operasi bersepadu menyelamat pengemis di sekitar ibu kota di sini malam ini.

Operasi tersebut disertai oleh 80 anggota petugas dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Jabatan Imigresen, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Turut serta Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Tambah Rohani, antara hukuman yang dicadangkan untuk dimasukkan kepada akta berkenaan adalah mengenakan kompaun, denda khidmat masyarakat ataupun penjara.

Hukuman itu bakal dikenakan kepada individu yang mengekploitasi orang lain untuk mengemis atau individu yang menjadikan mengemis ini sebagai karier walaupun mereka sihat tubuh badan atau mampu bekerja mencari pendapatan sendiri.

Sehingga tahun 2013, JKM telah menyelamatkan seramai 1,000 pengemis yang terdiri daripada pengemis tempatan, warga asing dan golongan kanak-kanak.

Daripada jumlah tersebut, 278 merupakan pengemis di sekitar Kuala Lumpur.

Bagi pengemis tempatan yang berumur 60 tahun ke atas mereka akan dihantar ke Rumah Seri Kenangan (RSK) dan bagi yang berumur 18 tahun hingga 59 tahun akan dihantar ke Desa Bina Diri (DBD).

Pengemis warga asing pula akan diuruskan oleh pihak Imigresen.

– MalaysiaGazette

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");