Jenayah

Amah larikan bayi enam jam

crime

SEREMBAN 5 April – Cemas! Itu pe­rasaan yang dialami seorang ibu kepada enam anak apabila bayi bongsunya dilarikan pembantu rumah warga Indonesia dalam satu kejadian di Sikamat, dekat sini semalam.

Bagaimanapun bayi berusia setahun 10 bulan itu ditemui semula oleh salah seorang ahli keluarga ibunya di sebuah flat di kawasan Sentul, Kuala Lumpur selepas ditinggalkan pembantu rumah itu kira-kira enam jam kemudian.

Ibu malang itu yang hanya mahu dikenali sebagai Erma, 30-an, berkata, dia hanya mengetahui kehilangan anaknya itu selepas dihubungi suaminya pada pukul 12 tengah hari yang memaklumkan pembantu rumah dan bayi mereka lesap.

“Suami saya pulang ke rumah pada pukul 11.30 pagi selepas mengambil dua anak kami di tadika. Dia terkejut apabila mendapati pintu dalam keada­an berkunci manakala bayi dan pembantu rumah, Linda tiada.

“Keluarga saya cuba mencari mereka di sekitar stesen bas dan dimaklumkan Linda ada membeli makanan sebelum menaiki bas pada pukul 9 pagi,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Jelas wanita berkenaan, pada pukul 3 petang dia menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada Linda yang memaklumkan bayinya berada di ibu negara.

Menerusi kiriman SMS itu, Linda turut menyertakan alamat lengkap lokasi bayi itu berada dan nombor telefon untuk dihubungi.

“Saya bernasib baik kerana mempunyai sepupu tinggal di Kuala Lumpur, jadi anak saya dapat diselamatkan le­bih cepat,” katanya

Jelas Erma, tingkah laku Linda yang baru tiga bulan berkhidmat dengannya baharu langsung tidak mencurigakan.

“Sebelum keluar bekerja pada pagi kejadian, dia kelihatan seperti biasa sahaja. Dia juga tidak pernah mengadu menghadapi apa-apa masalah kepada saya sebelum ini,” katanya.

Lebih memeningkan kepalanya, dia cuba menghubungi Linda beberapa kali pada hari kejadian, namun gagal kerana telefon bimbitnya dimatikan.

“Apa pun yang berlaku, saya bersyukur kerana menemui semula bayi saya dalam keadaan selamat,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Sembilan, Seni­or Asisten Komisioner Hamdan Majid memberitahu, pihaknya belum mene­rima laporan berhubung kejadian tersebut dan menasihatkan mangsa supaya membuat laporan bagi memboleh­kan pihaknya menjalankan siasatan.

– Utusan

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");