Membawang Hari Ini

Apa sudah jadi dengan The Red Warriors The Movies?

logo trwPromosi pelancaran filem bagai nak rak tapi akhirnya sampai ke sudah penggambaran belum lagi bermula. Jadi siapa yang bersalah dalam hal ini? Sudah tentu penerbit yang kena jawab.

Sebenarnya ramai cukup teruja dengan filem The Red Warriors The Movies (TRWTM) yang dilancarkan pada hujung tahun lalu. Tapi tak tahu di mana silapnya sampai sekarang filem itu sepi tanpa berita.

Macam badi pula apabila sama nasib dengan pasukan Kelantan yang kini terumbang-ambing prestasi mereka dalam Liga Super musim ini.

Kalau ada yang ingat masa majlis pelancaran filem itu, TRWTM sudah panas dengan publisiti. Ramai peminat bola sepak terutama Kelantan tidak sabar melihat kelibat pemain negeri itu yang selama ini hanya dapat disaksikan di atas di padang.

Ya lah, siapa tak nak tengok Piya berlakon di layar perak kan walaupun sekadar cameo?

Barisan pelakon pula bukan calang-calang seperti Fizo Omar, Kamal Adli, Intan Ladyana, Julia Ziegler, Along Raja Lawak, Angah Raja Lawak, Amir Raja Lawak, Sabri Yunus dan Datuk Ahmad Tamimi Siregar selain pemain dan ahli kelab penyokong TRW.

Namun khabar yang tidak sedap didengar apabila filem yang dijangka menelan kos hampir RM2 juta dan sepatutnya memulakan penggambaran pada Mac lalu telah ditangguhkan.

Semuanya gara-gara pengarah filem itu yang bertukar tangan. Sebelum ini, pada majlis pelancaran, nama pengarah tidak diumumkan kerana masih berada dalam proses pemilihan akhir.

Alih-alih pengarah lain pula yang jadi galang ganti. Dengarnya seorang pengarah yang ada nama dan boleh tahan tersohor juga.

Jadi, bila pengarah sudah bertukar, faham-faham sahajalah. Barisan pelakon pun turut bertukar. Terpaksa ikut cita rasa pengarah yang baharu.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif U2 Media, Siti Nur Mokhtar bila ditanya hal itu, tetap kunci mulut.

Jelasnya, filem ini akan tetap bermula penggambaran bermula pada bulan depan. Apa-apa katanya, tunggu sahaja jemputan untuk media datang buat liputan bila sesi penggambaran TRWTM bermula nanti.

Okeylah, kita tunggu apa nasib filem ini sama ada menjadi atau sebaliknya. Bukannya apa, jarang ada penerbit yang berani macam Puan Siti sanggup labur duit berjuta untuk buat filem mengenai bola sepak.

Malah jalan cerita TRWTM pun menarik. Ia mengisahkan seorang pemuda, Rohim dari Dabong yang mempunyai minat mendalam dalam bola sepak namun terpaksa berhenti sekolah dan dipaksa menjadi pemandu teksi sapu seperti ayahnya.

Rohim yang melarikan diri dari rumah kemudiannya bekerja sebagai pelayan tetamu di sebuah restoran berhampiran Stadium Sultan Muhammad IV dan berkenalan dengan anak majikannya bernama Kalsom.

Wanita itu memberi semangat terhadap dirinya dan mengatakan menjadi pemain bola sepak bukan sekadar sukan tetapi merupakan satu perniagaan.

Bermula daripada itu, tanpa menoleh ke belakang dia mengejar cita-citanya menjadi seorang pemain bola sepak profesional.

Filem ini turut berkisar cerita sebenar di balik tabir pasukan Kelantan seperti krisis pemain, pemindahan pemain, usaha keras pasukan, dilema pengurusan dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), cabaran dalam mengatasi pasukan yang lebih kaya, cabaran yang dihadapi jurulatih dan jatuh bangun pasukan.

– MalaysiaGaette

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");