Jenayah

Dadah, rempit ancam pelajar Terengganu

jenayah 2

KUALA NERUS – Polis Terengganu memandang serius gejala samseng jalanan dan penyalahgunaan dadah yang dilihat menjadi antara ancaman utama kepada pelajar sekolah di negeri ini.

Sehubungan itu, masyarakat terutamanya ibu bapa disarankan memberi sepenuh perhatian kepada anak termasuk menjalin hubungan lebih rapat dengan pengurusan sekolah supaya mereka lebih mengenali sifat sebenar anak masing-masing.

Timbalan Ketua Polis Terengganu, Datuk Hamzah Md Jamil berkata, masalah disiplin pelajar banyak dipengaruhi aspek persekitaran dan pergaulan rapat hingga mengakibatkan mereka tidak mengambil peduli nasihat dan larangan ibu bapa.

“Kita saran ibu bapa agar memberi perhatian kepada anak-anak termasuk pergaulan dengan rakan sebaya supaya mereka tidak terdedah dan terikut dengan aktiviti tidak sihat, sekali gus boleh memberi kesan kepada masa depan nanti.

“Ini kerana, kita melihat masalah disiplin membabitkan pelajar ketika ini berada pada tahap yang agak membimbangkan terutamanya dalam gejala samseng jalanan dan penyalahgunaan dadah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Pelepasan Ekspedisi Belia Terengganu Mendaki Gunung Mahameru dan Bromo, Jawa Timur, Indonesia anjuran Jabatan Pencegahan dan Pembanterasan Jenayah Kontinjen Terengganu di Lapangan
Terbang Sultan Mahmud (LTSM), di sini, semalam.

Hamzah berkata, pihaknya turut mengenal pasti kes mat rempit, dadah dan jenayah saling berkait antara satu sama lain yang perlu ditangani secara menyeluruh.

“Kita juga melihat keberkesanan melalui penempatan Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) yang terdiri daripada pegawai polis di semua sekolah menengah di negeri ini yang menjadi penghubung antara sekolah dan pihak berkuasa,” katanya.

Dalam ekspedisi yang julung kali diadakan itu, seramai lapan pendaki terdiri daripada ahli Kelab Kembara Belia Hulu Terengganu dan dua wakil polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu menyahut cabaran mendaki  gunung di negara jiran itu.

-Sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");