Jenayah

Dakwa jadi mangsa aniaya rakan

dianiaya

KUANTAN – “Saya hanya tolak troli itu keluar namun semua barangan di dalamnya rakan yang ambil. “Bila saya keluar bersama barang itu, mereka menghilangkan diri dan saya ditahan kerana dituduh mencuri,” kata seorang tukang cuci, Siti Zuliha Junus, 39.

Ibu kepada seorang anak dari Beserah dekat sini yang dituduh di Mahkamah Majistret Kuantan semalam atas tuduhan mencuri, mendakwa dia tidak berniat melakukan kesalahan itu sebaliknya dianiayai rakan sendiri.

Majistret Noor Zaihan Mohamed Ali bagaimana pun mempersoalkan alasan itu kerana baginya mustahil tertuduh tidak mengetahui barangan dibawa keluar itu belum dibayar.

“Saya tidak mahu tahu siapa yang ambil dan letakkan barang itu sebaliknya kamu sudah dianggap mencuri kerana bawanya keluar tanpa bayar dahulu semua barangan itu,” katanya.

Noor Zaihan berkata, kesalahan yang dilakukan tertuduh sangat berat kerana melibatkan banyak barang dengan nilai RM500.

Siti Zuliha dituduh mencuri dua pek lampin pakai buang, tiga penyambung plug, dua seterika, satu kipas meja, tiga botol susu, satu botol bahan peluntur, sebotol pelembut pakaian, satu pek sabun basuh, beg duit, 13 seluar pelbagai saiz, enam pasang selipar dan sepasang kasut bola dengan nilai keseluruhan RM500.

Semua barangan tersebut dimasukkan dalam sebuah troli sebelum menolaknya keluar tanpa menjelaskan bayaran.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu dalam sebuah pasar raya di sini kira-kira 10.25 malam, 10 April lalu.

Bagi kesalahan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara hingga 10 tahun dan boleh didenda.

Dia bagaimana pun mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dikemukakan Pegawai Pendakwa, Inspektor V Muneswaran.

Mengambil kira pengakuan bersalah, rayuan dan latar belakang tertuduh, Noor Zaihan mengetepikan hukuman penjara terhadap wanita itu sebaliknya dia diperintahkan menjalani kerja wajib selama dua bulan iaitu empat jam sehari tanpa gagal.

-Sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");