Membawang Hari Ini

Darah muda Miera Liyana

hi_01.1
MEMECAH masuk ke arus lakonan menerusi drama arahan Aziz M. Osman bertajuk Luna Fantasiku, ketika itu umurnya belum mencecah 16 tahun. Jiwa rangup yang dibuai emosi mentah itu terus mengalir secara laju apabila menyambut kepercayaan pengarah hebat, Mamat Khalid untuk beraksi dalam naskhah filem Apokalips X.

Populariti segera disemarakkan dengan imej seksi serta percintaan dari lokasi ke lokasi menjadikan Miera Liyana terkenal dengan nada negatif. Tahun-tahun pertama kemunculannya, Miera dilabel gadis sensasi.

Tergelak dan ketawa mengingatkan zaman remaja yang semakin ditinggalkan, Miera mahu menyelak halaman baharu. Di sebalik sifat gila-gila yang sarat dalam jiwanya, Miera punyai matlamat sementelah angka 21 sudah tertulis pada kotak usianya.

“Saya bukan lagi budak perempuan tetapi sedang menjadi wanita. Saya belum matang tetapi sedang berjalan ke arah itu,” katanya sambil mengakui zaman remajanya tidak seperti gadis remaja yang lain.

Sambil mengambil posisi membetulkan duduknya, Miera menambah: “Masa remaja, saya tidak banyak masa dengan rakan-rakan sebaya kerana banyak waktu di lokasi penggambaran dan acara hiburan. Dahulu saya sedikit terkejut dengan dunia glamor. Saya ingat jadi pelakon itu kerja yang suka-suka.

“Waktu itu masih sekolah, cikgu-cikgu dan kawan-kawan pandang saya lain macam. Tapi sekarang saya mula sedar, berlakon itu kerja yang serius. Saya mahu jadi pelakon. Maksudnya saya, pelakon yang tahu apa itu lakonan dan bekerja dengan serius.”

Pelakon hingusan

Melihat perjalanan karier lakonannya sedang di landasan yang ada hala tuju, trofi Pelakon Pembantu Wanita Terbaik kategori filem yang dimenangi menerusi Anugerah Skrin 2013 jadi titik permulaan kepada metamorfosis Miera.

“Mula-mula orang nampak saya sebagai pelakon hingusan. Asyik jaja kisah cinta, seksi dan kontroversi tetapi saya okey sahaja sampailah saya dinilai dengan sebuah trofi anugerah. Dari situ saya mula sedar yang saya harus buktikan sesuatu. Setakat ini saya masih bukan lagi pelakon yang sebenar tetapi saya mahu jadi pelakon yang bagus,” katanya yang kini muncul dapa filem Apokalips X di pawagam tanah air.

Apokalips X sepatutnya menjadi pemula kepada kemunculan Miera Liyana namun filem pertama yang dilakonkan empat tahun lalu itu bagaimanapun harus akur untuk menjadi penerus kredibiliti Miera sebagai anak seni.

“Saya memang mahu khalayak menonton filem Apokalips X. Itu filem saya. Saya tak tahu kenapa saya dipilih masuk ke dalam filem itu tetapi saya yakin Apokalips X sebuah filem unik. Rasanya tidak ada filem Mamat Khalid yang seserius filem Apokalips X,” ujar Miera yang melakonkan watak Qi Qi dalam filem yang sudah ditayangkan sejak 3 April lalu.

Sedikit terkilan namun pasrah mengenai nasib filemnya yang terpaksa menangguhkan pratonton media serta tiada ruang promosi yang agresif disebabkan tragedi MH370, Miera akui, Apokalips X sebuah filem pertama seumpamanya yang dihasilkan pengarah tempatan.

“Saya hanya bawa watak kecil. Seorang gadis yang dihalang hubungan cinta dengan pemuda daripada kelompok yang lain, bagaimanapun watak itu penting dalam menggerakkan konflik dan plot keseluruhan.

“Ya, filem ini sepatutnya jadi pemula kepada kemampuan Miera Liyana, tetapi seronok juga dapat melihat hasil kerja yang dilakukan ketika masih mentah,” katanya riang.

Tutup cerita cinta

Silir cinta Miera Liyana seperti mahu bertiup semula apabila ada desas-desus mengatakan dia kini sedang mengulit hubungan istimewa bersama pelumba kereta drift.

Sengaja mengusiknya yang sudah agak lama tidak disensasikan episod cinta, Miera ditebak tentang kebenaran dakwaan itu. Jika sewaktu bercinta dengan Lash Mokhtar dan Shahrizal Jaszle, mudahnya sahaja dia mengiakan isi hati namun, Miera kini sedikit berbeza.

“Betul juga, kenapa saya macam sudah tak seronok bercakap pasal cinta. Mungkin sebab tak ada hubungan yang benar-benar istimewa dengan mana-mana lelaki. Mungkin sebab umur pun sudah meningkat. Dahulu, ada teman lelaki sahaja sudah mula cakap pasal kahwin, kelakar.

“Sekarang, saya mahu fokus kerja. Kalau nak cari teman lelaki yang betul-betul, saya tak mahu lelaki pengongkong tapi pada masa yang sama, saya juga tak suka lelaki yang boleh saya kongkong. Biar sama-sama saling memahami, itu yang susah.

“Sekarang ini, nak kata saya cuba mengelak kontroversi, tidak juga tapi nak kurangkan memang ada. Sekarang saya memilih untuk berkawan sahaja,” ujar Miera yang bagaimanapun mengakui sedang jatuh cinta terhadap sukan berlumba drift.

Banyak berkongsi kegilaan baharunya itu, pelakon yang sedang sibuk di lokasi drama bersiri 60 episod, Kusinero Cinta itu menjadikan drift sebagai hobi yang memberi kepuasan kepadanya.

“Saya anak kedua, sejak kecil saya mahu jadi seperti abang. Saya lasak dan tidak begitu menggemari permainan budak perempuan. Selama ini minat dengan kereta itu ada tetapi tidak mendalam seperti sekarang,” katanya mula belajar drift secara profesional sejak lapan bulan lalu.

Pelantikannya sebagai salah seorang duta Drive M juga membuka laluan untuk Miera untuk beraksi sebagai drifter.

“Mana tahu suatu masa nanti saya boleh jadi pelumba drift pula,” katanya berseloroh namun sempat berkongsi impian untuk mempunyai sebuah rumah produksi sendiri pada masa hadapan.

Lahir daripada golongan berada bukan satu alasan untuk Miera secara mudah memperoleh setiap kemahuannya. Tanpa lakonan, Miera sebenarnya sudah boleh meneruskan bisnes keluarga.

“Saya kena berusaha sendiri juga. Hajat nak ada rumah produksi itu memang disokong oleh keluarga tetapi saya kena tahu selok-beloknya dulu, kena kuatkan nama dulu.

“Sekarang ibu saya menjadi orang yang selalu ada di sisi. Dia orang paling layak saya percaya, dan dia juga sedang menyokong impian saya satu itu,” optimis bunyinya kehendak Miera kali ini.

– Kosmo

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");