Jenayah

Dua beradik kempunan tunaikan umrah

umrah

JOHOR BAHRU – Hasrat dua beradik untuk menunaikan umrah buat kali pertama pada hujung tahun lalu tidak kesampaian selepas mendakwa pembayaran dibuat RM12,000 disalahgunakan oleh ejen agensi pelancongan.

Kerani, Zuraida Mohamed, 41 berkata, dia bersama adiknya Zarina Mohamed, 35, mengambil pakej umrah bernilai RM6,190 seorang dan telah membayar deposit sebanyak RM3,000 pada 8 Ogos tahun lalu.

Katanya, mereka membuat keputusan memilih ejen berkenaan kerana sudah lama mengenali dan dijadualkan berangkat menunaikan umrah pada 21 Disember lalu.

“Kami telah membuat bayaran penuh berjumlah RM12,380 pada 22 Ogos tahun lalu dan mula mengikuti kursus umrah yang disediakan setiap minggu.

“Ejen berkenaan juga memberitahu akan memberi kelengkapan umrah kepada kami pada 18 Ogos, namun kemudian dia memaklumkan bahawa visa kami telah ditolak kerana tiada mahram,” katanya.

Zuraidah berasa curiga di atas alasan diberikan dan segera menghubungi ibu pejabat agensi pelancongan berkenaan namun mendapati namanya dan Zarina tidak ada didaftarkan sebagai peserta umrah di agensi itu.

“Kami segera menemui ejen berkenaan dan akhirnya dia mengaku menyalahgunakan wang kami.

“Dia meminta kami tidak melaporkan hal itu kepada polis dan berjanji memulangkan semula wang selewatnya-lewatnya pada Februari lalu,” katanya ketika ditemui selepas prosiding Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) di sini, semalam.

Bagaimanapun katanya, ejen berkenaan gagal menjelaskan wang berkenaan dan mereka membuat keputusan memfailkan kes di TTPM.

Sementara itu, ejen pelancongan berkenaan yang turut hadir ketika prosiding TTPM, mengaku menyalahgunakan wang berkenaan dan berjanji akan memulangkannya semula dalam masa terdekat.

Presiden TTPM, Datuk Zul Hasnan Baharudin menetapkan agar pihak penentang membayar semula RM12,380 kepada penuntut dalam tempoh dua minggu dari tarikh award dikeluarkan, semalam.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");