Jenayah

Dua parah kedai dihempap pokok

2 parah

SELAMA, PERAK – Dua parah sementara 12 yang lain termasuk seorang kanak-kanak perempuan cedera apabila sebatang pokok tumbang menghempap sebuah kedai makan di Kampung Tapah, Sungai Bayor, pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 pagi itu, kebanyakan mangsa yang juga penduduk kampung itu sedang bersarapan di kedai berkenaan.

Seorang mangsa yang ditemui, Hassan Basri Ahmad, 53, berkata, rata-rata mereka tidak sempat menyelamatkan diri , tersepit di bawah timbunan pokok serta kedai yang runtuh.

“Waktu itu kami tak mampu nak buat apa-apa dah. Semua hanya mengucap panjang. Ada juga yang jerit minta tolong. Berserah sahaja kepada ALLAH sambil tunggu bantuan daripada penduduk yang lain,” katanya.

Menurut Hassan, sudah menjadi rutin dia bersama rakannya singgah bersarapan di kedai berkenaan setiap kali selesai solat Subuh.

Dia yang ketika itu sedang menjamah makanan sempat dengar bunyi dentuman yang kuat sebelum melihat batang pokok menghempap keseluruhan kedai.

“Dahan pokok itu jatuh betul-betul atas bumbung, sebab itu ramai tak sempat selamatkan diri,” katanya.

Difahamkan, pokok bacang dengan ketinggian lebih 10 meter itu patah di bahagian tengah menyebabkan sebahagian batangnya tumbang ke arah kedai berkenaan.

Semua mangsa dihantar ke Hospital Selama, sementara mangsa yang mengalami kecederaan parah, Hassan Hamid, 71, dan Mohamad Hanafi Che Wok, 61, menerima rawatan lanjut di Hospital Taiping akibat pendarahan di kepala.

Belum sempat minum

Seorang lagi mangsa, Safizan Zakaria, 38, berkata, ketika kejadian, dia belum sempat minum, namun tetap tidak berjaya menyelamatkan diri.

Katanya, kejadian berlaku terlalu pantas menyebabkan mereka terperangkap di bawah runtuhan.

“Ada di antara mangsa cuba keluar dari runtuhan, namun tak berjaya. Bagaimanapun kita bersyukur kerana semua selamat meskipun ada yang cedera,” katanya.

Safizan yang juga Imam Masjid Kampung Tapah berkata, akibat kejadian itu, dia mengalami kecederaan di bahu dan terdapat kesan calar di belakang badan.

Katanya, sehingga kini, penduduk kampung masih tertanya-tanya bagaimana pokok itu boleh patah.

Guna mesin potong pokok

Penduduk yang terselamat, Azizan Zahid, 45, berkata, dia bersama beberapa penduduk kampung cuba mengeluarkan mangsa, namun tidak semua berjaya diselamatkan.

Katanya, mereka nekad menggunakan mesin pemotong pokok bagi memudahkan kerja menyelamat.

“Ketika kejadian, pelanggan memang ramai, saya baru sahaja keluar dari kedai itu, terkejut juga dengar bunyi kuat. Lepas tu dengar pula suara orang menjerit minta tolong, mujur ada penduduk yang simpan mesin gergaji, dapatlah kami keluarkan beberapa mangsa,” katanya.

Azizan berkata, ketika kerja menyelamat dilakukan, ada dua mangsa alami pendarahan serius di kepala dan anggota badan.

“Kelihatan mangsa seperti terkena serpihan zink dan kayu menyebabkan dia tak sedarkan diri,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Selama, Mohamad Fadzeli Che Hussin berkata, siasatan awal mendapati, pokok bacang berusia lebih 20 tahun itu patah di bahagian tengah akibat reput.

Katanya, bomba yang dimaklumkan kejadian pada jam 7.30 pagi mendapati, orang ramai sedang bertungkus-lumus menebang pokok dan berusaha mengeluarkan mangsa.

“Semua kerja pembersihan di lokasi kejadian selesai pada jam 8.45 pagi, dilakukan bomba dan turut dibantu penduduk setempat.

“Seramai 14 mangsa terlibat, 13 lelaki dewasa dan seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun. Insiden hanya membabitkan kecederaan, tiada kemalangan jiwa dilaporkan,” katanya.

Operasi disertai 10 anggota bomba itu turut mendapat kerjasama Polis Daerah Selama diketuai Ketua Polis Daerah Selama, Deputi Superintendan, Wan Jamil Wan Chik.

-Sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");