Jenayah

Dua suspek kes pecah rumah dicari

pecah rumah

SABAK BERNAM – Polis mencari dua lelaki yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes pecah rumah melibatkan seorang lelaki bergelar datuk dan seorang kontraktor yang dilaporkan berlaku antara Februari serta Mac lalu.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Noor Mushar Muhammad berkata, hasil siasatan Pasukan Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor berjaya menemui kesan cap jari di dua rumah mangsa terbabit.

Malah katanya, hasil perbandingan kesan cap jari yang diperoleh bagi kedua-dua kes di tempat kejadian, dua suspek lelaki warga asing yang masing-masing berusia 20-an yang beralamat di Tasik Permai, Ampang itu sudah dikenal pasti kerana memiliki rekod jenayah sebelum ini.

“Polis sudah mengenal pasti identiti mereka yang terlibat berdasarkan pada kesan cap jari yang sepadan,” katanya pada Sidang Media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam.

Noor Mushar berkata, hasil siasatan polis mendapati kedua-dua suspek itu juga sebelum ini pernah ditahan polis secara berasingan masing-masing pada 2011 dan 2012 atas dakwaan pecah rumah di Ampang.

“Dalam kejadian pecah rumah melibatkan seorang datuk di daerah ini pada 23 Mac lalu, suspek dipercayai melarikan peti besi yang mengandungi sepucuk pistol Auto Smith & Wesson.

“Selain pistol, suspek turut melarikan geran tanah, jam tangan dan barang perhiasan serta kerugian keseluruhan yang dialami mangsa dianggarkan bernilai RM14,000,” katanya.

Menurutnya, semasa kejadian, mangsa dipercayai tiada di rumahnya di Sungai Lias, Sungai Besar kerana menerima rawatan sakit tulang belakang di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) Kuala Lumpur.

Bagaimanapun katanya, kejadian itu hanya disedari seorang anaknya pada jam 9 pagi, 23 Mac lalu apabila mendapati pintu rumah dan pagar hadapan terbuka selain keadaan bilik utama terbabit berselerak.

“Hasil siasatan Forensik IPK Selangor di tempat kejadian menemui 18 kesan cap jari kesemuanya di rumah terbabit,” katanya.

Sebelum kejadian di kediaman datuk itu katanya, seorang kontraktor pada 3 Februari lalu mengalami kerugian lebih RM150,000 apabila rumahnya dipercayai dimasuki suspek ketika dia bersama ahli keluarganya bercuti ke Kelantan.

“Antara yang hilang termasuklah wang tunai sebanyak RM100,000, tiga komputer riba, 20 cincin, 10 jam tangan pelbagai jenama dan sebuah telefon bimbit jenama Samsung,” katanya.
Beliau berkata, hasil siasatan polis mendapati suspek dipercayai melakukan kegiatan pecah rumah pada waktu malam sekitar jam 1 hingga 4 pagi.

“Modus operandi mereka adalah sama apabila suspek akan memasuki rumah yang kosong dengan mengumpil tingkap atau pintu sliding menggunakan gunting dan pemutar skru serta mencuri barangan berharga sebelum melarikan diri,” katanya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");