Membawang Hari Ini

Filem konsep 1Malaysia makin mendapat tempat

CANNES – PERANCIS . Penggiat industri perfileman tempatan di Malaysia disaran menghasilkan lebih banyak karya berkonsepkan 1Malaysia kerana genre sedemikian semakin mendapat tempat di hati rakyat pelbagai kaum.

finas

Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) Datuk Md Afendi Hamdan berkata penerbit filem perlu mengikut trend semasa selain berani ‘berubah angin’ dalam berkarya agar produk yang dihasilkan mendapat sambutan baik sekali gus memberi pulangan sewajarnya.

“Tak banyak filem berkonsepkan 1Malaysia yang dihasilkan penerbit filem tempatan sedangkan kalau kita perhatikan produk sedemikian semakin diminati.

“Filem yang macam ini membolehkan rakyat pelbagai kaum untuk datang tengok dan bukan setakat orang Melayu tengok filem Melayu atau Cina tengok cerita Cina saja,” katanya kepada wartawan sempena program televisyen terbesar dunia ‘Marche International de Programmes de Television’ (MIPTV) 2014 di sini, yang bermula Isnin.

Mengambil contoh filem ‘The Journey’, Md Afendi berkata filem berbahasa Mandarin itu mencecah kutipan melebihi RM12 juta sekali gus mencatat rekod sebagai filem berbahasa Cina keluaran tempatan paling laris di Malaysia.

“Filem ini semua kaum datang tengok dan dari situ kita tahu bahawa rakyat Malaysia menerima dengan baik filem yang berkonsepkan 1Malaysia ini,” katanya.

Md Afendi juga meminta penerbit filem di Malaysia agar menghasilkan produk yang mampu menembusi pasaran antarabangsa dan tidak menjadi ‘jaguh kampung’ semata-mata.

Beliau berkata, usaha tersebut bukan sahaja memberi impak positif kepada penerbit atau syarikat terbabit, malah dapat membantu kerajaan melonjakkan nama Malaysia sebagai destinasi pilihan dan hab penerbitan filem.

Katanya sebagai tanda sokongan, Finas menyediakan pelbagai insentif dan peruntukan geran seperti Insentif Filem Di Malaysia (FIMI) yang menawarkan rebat 30 peratus kepada penerbit tempatan dan antarabangsa bagi perbelanjaan audit dalam negara.

MIPTV 2014 yang diadakan di Palaes de Festival di French Riviera pada musim bunga setiap tahun, berlangsung selama empat hari dari 7 hingga 10 April dan disertai 10,000 peserta dari 90 negara.

Sebanyak 19 syarikat dari Malaysia menyertai MIPTV yang menyasarkan jualan RM25 juta daripada pelbagai jaringan urus niaga antara syarikat Malaysia dan syarikat asing merangkumi jualan produk, kerjasama produksi, pelesenan dan pengedaran.

Penyertaan Finas pada MIPTV 2014 adalah hasil gabungan strategik kerjasama antara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC) dengan sokongan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) dan Pertubuhan Kandungan Kreatif Malaysia (CCAM).  – Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");