Membawang Hari Ini

Hasnol sedia kembali

PELANCARAN ALBUMSELEPAS 20 tahun memencilkan diri daripada dunia hiburan, penyanyi yang popular dengan Laguku Untukmu, Hasnol bersedia untuk kembali melangkah.

Hasnol atau nama sebenarnya Hasnol Hassan Ariff, 44, bakal muncul dengan dua buah single terbaharu berjudul Tinggallah dan Kasih Abah.

“Single Tinggallah dicipta pada tahun 2008 dan disusun semula untuk menepati kehendak pasaran semasa. Lirik kedua-dua single itu ditulis sendiri oleh saya,” ujarnya yang ditemui di pejabat urusan MH & Firas Sdn. Bhd., di Oasis Ara Damansara, Petaling Jaya, Selangor.

Selain itu, lagu yang pernah memasuki separuh akhir Anugerah Juara Lagu kelapan (1993) iaitu Laguku Untukmu ciptaan Adnan Abu Hassan juga bakal dirakamkan semula dalam bentuk lebih segar dan bertenaga.

Hasnol muncul dengan album pertama Sudi Katakan Sudi pada tahun 1992 yang mana telah menobatkan single Sudi Katakan Sudi sebagai juara kategori Pop Rock tahun 1993.

Album kedua Hasnol telah dilancarkan setahun kemudian dan lagu Teguh menjadi salah satu lagu popular dari album tersebut.

Mana menghilang?

Ditanya ke manakah menghilangnya Hasnol, katanya, dia lebih memberikan fokus kepada keluarga dan kerjaya dalam bidang korporat.

“Saya ada terfikir dua tiga kali untuk kembali menyanyi selama tempoh 20 tahun tapi saya perlu mempertimbangkan banyak faktor termasuk keluarga dan kerjaya. Saya jadi tidak yakin!

“Untuk menyanyi, saya perlu fokus sepenuh masa dan berdepan banyak kerenah. Jadi selepas sekian lama membuat keputusan, saya memilih untuk kembali ke persada seni suara sebagai seorang yang baharu,” ujarnya yang pernah bekerja sebagai penceramah, pegawai keselamatan siber, pelukis grafik dan eksekutif pemasaran.

Hasnol mengakui, lagu Laguku Untukmu merupakan tuah untuk dia kekal diingati dalam industri hiburan tempatan malah dia masih mengharapkan magis Adnan Abu Hassan untuk kembali berkolaborasi selepas ini.

Kahwin, cerai

Menyingkap kembali kisah lampau yang membuatkan Hasnol putus harapan untuk kekal berdiri dalam bidang nyanyian, katanya kisah peribadi banyak mempengaruhi pendiriannya.

“Biasalah ketika muda adakalanya kecewa bercinta dan cerita dahulu banyak berkisar soal peribadi. Tidak semua orang bersetuju dengan apa yang saya lakukan dan saya pun ada buat kesilapan.

“Ramai juga peminat yang sering bertanyakan bilakah waktu saya akan kembali menyanyi. Alhamdulillah, berkat sokongan keluarga dan individu sekeliling, kini saya yakin untuk terus melangkah,” kata Hasnol.

Dijentik sedikit soalan mengenai halangan keluarga untuk terus berkarya suatu ketika dahulu, Hasnol lebih memilih untuk berdiplomasi.

Katanya: “Isteri saya sudah memberikan kebebasan sepenuhnya.”

Hasnol berkahwin dengan Akmar Zuraika, 44, pada tahun 1994 dan telah dikurniakan tiga orang cahaya mata iaitu Aqeef Hayyat, 18, Aqeef Hilman, 15 dan Hanna Aeesya, 10.

Malangnya, rumah tangga pasangan itu tidak berkekalan dan mereka bercerai pada tahun 2009.

Setahun kemudian Hasnol bertemu dengan kawan rapatnya suatu ketika dahulu, Ika Salleh, 44, dan berkahwin pada tahun sama.

Pasangan itu dikurniakan seorang cahaya mata, Haneesa Maisara, 3 tahun.

– KOSMO

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");