Jenayah

Hidup seksa angkara ayah angkat

ugut 1

SENAI – Seorang pemilik sebuah restoran mendakwa hidup dalam tertekan dan hampir seperti mahu membunuh diri selepas teraniaya dandiperdayakan daripada individu yang dikenalinya sejak tiga tahun.

N Sivapresaad, 42, mendakwa banyak kali disiasat polis selepas individu terbabit yang dianggap seperti ayah angkatnya membuat laporan polis palsu mengatakan dirinya membuat ugutan bunuh.

Menurutnya, lelaki terbabit yang didakwa mempunyai ijazah doktor falsafah (PhD) itu bertindak sedemikian selepas dirinya enggan menuruti permintaan untuk menjelaskan bayaran rumah sebanyak RM1,200 sebulan.

Lebih malang lagi, bapa kepada 12 cahaya mata berumur tiga hingga 20 tahun itu turut ditahan di lokap selama empat hari untuk membantu siasatan polis akibat insiden berkenaan.

“Saya kenal lelaki itu ketika aktif mengikut pelbagai program kebajikan dilakukan oleh pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) di negeri ini dan mulai rapat dengannya sejak setahun lalu apabila saya membuka restoran.

“Boleh dikatakan setiap hari, dia datang makan di restoran saya dan rapat dengan anak-anak saya. Malah sekiranya dia berdepan dengan masalah kewangan, saya turut membantunya.

“Saya pernah menjelaskan pelbagai bil tertunggak lelaki itu serta menyerahkan wang tunai sehingga RM3,800 secara berperingkat kerana niat mahu membantunya dalam kesusahan.

“Namun, bulan lalu, dia meminta saya membayarkan ansuran bulanan rumahnya sebanyak RM1,200, tetapi saya enggan menurutinya.

“Kemudian saya dipanggil pihak polis selepas lelaki itu membuat laporan palsu yang mengatakan saya membuat ugutan bunuh terhadapnya,” katanya pada sidang media, di sini, semalam.

Sivapresaad mendakwa lelaki terbabit yang banyak kali membuat laporan polis terhadap individu lain turut bertindak mengugut isterinya, P Punitha, 44, dengan memberitahu akan berterusan membuat tindakan sama sekiranya dirinya enggan menuruti permintaan dibuat.

“Bukan sekali laporan polis palsu terhadap saya dibuat, tetapi banyak kali dan ramai orang juga saya dengar terima nasib seperti saya. Paling sedih tidak pernah terfikir seumur hidup ini saya akan tidur di lokap. Ketika di lokap saya sampai tidak mahu menjamah langsung makanan.

“Saya juga telah membuat empat laporan polis berhubung perkara ini. Rasa takut dan sangat tertekan, ke mana-mana sahaja saya pergi, pasti saya akan menyimpan resit pelbagai bayaran di dalam dompet.

“Saya khuatir sekiranya saya dipanggil lagi pihak polis, sekurang-kurangnya saya ada bukti untuk menyangkal dakwaan lelaki itu.

Kini, saya sudah trauma mahu mengikuti program kebajikan lain pada masa akan datang,” katanya.

Justeru, dia berharap individu lain tidak menjadi mangsa lelaki terbabit bersandarkan umurnya sudah mencecah 80 tahun, memiliki PhD serta kedudukannya yang kononnya berpengaruh dan dikenali ramai orang kenamaan.

“Saya merayu pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya dan orang ramai yang pernah menjadi mangsa lelaki itu tampil supaya tiada lagi menjadi mangsa tidak bertanggungjawab lelaki itu yang sengaja mahu mengambil kesempatan,” katanya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");