Jenayah
Like

‘Jangan roboh masjid kami’

April 21, 2014
142 Views
0 Comments
3 minutes read
‘Jangan roboh masjid kami’

roboh

PETALING JAYA – “Tolonglah… tunggulah sampai masjid baru siap barulah robohkan masjid yang lama,” demikian rayu salah seorang kariah Masjid Dato’ Haji Kamaruddin, Mohd Muhsin Ismail, 47.

Menurut Mohd Muhsin, Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) telah pun mengarahkan agar premis ibadah itu dirobohkan pada April dan kariah dibenarkan menggunakan masjid berkenaan sehingga hari ini sahaja.

“Kami tak kisah kalau nak roboh, tapi sekurang-kurangnya tunggulah sampai masjid baru siap September ini.

“Kami bimbang kalau masjid baru lambat siap, di mana kami nak solat berjemaah nanti,” katanya selepas mengadakan demonstrasi bantahan, semalam.

Shamsul Samsuri, 50, pula berkata, memang ada disediakan surau sementara di Sekolah Rendah Agama (SRA) Kampung Baiduri buat jemaah di sini, tetapi ia tidak mampu menampung jumlah penduduk yang ramai.

Menurut Shamsul, surau berkenaan hanya mampu menampung kira-kira 60 jemaah pada satu-satu masa.

“Kami risau Ramadan nanti mesti jemaah ramai, jadi macamana nak beribadat dalam keadaan tak selesa,” katanya kepada Sinar Harian.

Tambahnya, apa yang menyukarkan lagi ialah pihak sekolah berkenaan juga tidak membenarkan jemaah lain menggunakan laluan di kawasan mereka pada waktu Zohor dan Asar kerana ramai murid sedang keluar masuk.

“Susahlah jemaah nak masuk, terutamanya warga emas sebab mereka terpaksa pula menggunakan jarak lebih jauh untuk ke surau sementara,” katanya.

Sementara itu, Othman Kastor, 57, berkata, tapak masjid yang sedia ada akan digunakan bagi pembinaan jalan dan proses naik taraf sistem perparitan.

Othman berkata, pada mulanya, tapak itu dirancang untuk dijadikan kawasan parkir buat masjid baru yang sedang dalam proses pembinaan tersebut.

“Kalau nak buat jalan, kenalah bina keseluruhan, bukan di kawasan masjid sahaja,” katanya.

Sebelum itu, dianggarkan kira-kira 30 orang jemaah hadir bagi menyuarakan bantahan terhadap kerja-kerja perobohan yang bakal dilaksanakan tidak lama lagi.

Dalam pada itu, Adun Taman Medan, Haniza Talha memaklumkan, pihaknya ada menerima rungutan daripada jemaah masjid berkenaan sebelum ini berhubung perobohan tersebut.

Menurut Haniza, pihaknya juga telah menjalankan perbincangan dengan Jais sebelum ini bagi membolehkan sesi perbincangan diadakan terlebih dahulu bersama jemaah.

“Perbincangan bersama dua belah pihak ini amat penting supaya masalah ini akan dapat diselesaikan dan dirunding dengan kadar segera,” katanya.

Jelas beliau, pihak berkenaan perlu memberi jaminan supaya masjid baru itu akan dapat dibina mengikut tempoh yang ditetapkan sebelum ini.

Tambahnya, Jais dan Jabatan Kerja Raya (JKR) perlu memberi peluang penduduk meluahkan pandangan berhubung masalah yang dihadapi mereka.

“Setiap pihak perlu bersama-sama membantu dan mendengar keluhan penduduk malah pada masa yang sama, agensi ini juga boleh memberi jaminan kepada jemaah di sini berhubung tempoh pembinaan masjid baru itu,” katanya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat

Leave a Reply