Sukan Hari Ini

Jiminez ‘cuti’

sukan

Johor Bahru: Langkah awal diambil Johor Darul Ta’zim (Johor DT) dengan merehatkan ketua jurulatih Cesar Ferrando Jiminez sebelum saingan pusingan kedua Liga Super bermula dianggap sebagai tindakan tepat bagi memulihkan kembali prestasi pasukan itu.

Tugas membimbing skuad Harimau Selatan kini diambil alih ketua jurulatih Johor Darul Ta’zim II (Johor DT II) Rajko Magic (gambar) yang akan berganding bahu dengan Bojan Hodak untuk memastikan skuad utama negeri itu kembali berada di landasan sebenar.

Rombakan itu terpaksa dilakukan pengurusan tertinggi Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) selepas prestasi Jiminez membimbing Johor DT pada pusingan pertama kurang memuaskan apabila sekadar mencatat empat kemenangan dan empat seri sepanjang 11 perlawanan untuk berada di kedudukan keenam dengan 16 mata.

Apapun Hodak selaku pengurus Johor DT yang ditemui ketika sesi latihan di Padang Seri Gelam, kelmarin tidak mahu mengulas lanjut berhubung perubahan barisan kejurulatihan skuad Harimau Selatan.

“Saya tidak mahu komen lebih lanjut. Itu keputusan pengurusan tertinggi PBNJ dan saya hanya menjalankan tugas,” katanya.

Hodak juga menegaskan, tumpuan lebih terarah membuat persiapan menentang PKNS FC di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, Jumaat ini dan pemain begitu bersemangat untuk memulakan saingan pusingan kedua Liga Super.

Katanya, hanya Pablo Aimar bergelut untuk pulih daripada kecederaan namun pemain itu bertungkus lumus meningkatkan tahap kecergasan bagi memastikan tempat dalam kesebelasan utama.

“Tiada lagi masalah kecederaan yang kami hadapi kecuali Pablo namun dia begitu tekun menjalani latihan bagi memantapkan dirinya dan saya harap dia dapat diturunkan pada aksi menentang PKNS,” katanya.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");