Jenayah

Kasanova tipu wanita terima padah

kasanova

GEORGETOWN – Lelaki kasanova dipenjara tiga tahun dan satu sebatan setelah didapati bersalah menipu dengan memperdayakan seorang wanita untuk menyerahkan RM2,000 kepadanya dua tahun lalu.

Pengaturcara komputer, K Prabaharan, 46, disabitkan kesalahan memperdayakan A Vanija, 31, untuk menawarkan tender kantin Sekolah Menengah Kebangsaan Convent Green Lane di sini, dengan meminta mangsa menyerahkan wang tunai.

Kesalahan itu dilakukan di depan Hospital Lam Wah Ee, Jalan Tan Sri Teh Ewe Lim, di sini, pada jam 3 petang, 8 Oktober 2012.

Majistret Mahkamah 1, Umma Devi Loganathan memutuskan hukuman itu berjalan dari tarikh tangkap semula pada 2 Januari tahun ini sejurus Prabaharan menukar pengakuan bersalah ketika pertuduhan dibacakan semula oleh jurubahasa.

Sebelum ini, lelaki itu meloloskan diri dari kompleks mahkamah di sini hampir tiga bulan sebelum ditahan semula di Kuala Lumpur, 2 Januari lalu.

Mengikut fakta kes, Vanija berada di sebuah kedai di Jalan Besi dan didatangi tertuduh menggunakan Perodua Viva lalu memperkenalkan dirinya dengan nama ‘Ragunathan’.

Tertuduh didapati memperdayakan Vanija untuk berjumpa dengan guru besar sekolah berkenaan bagi mendapatkan tender kantin.

Untuk itu, Vanija menggadai barang kemasnya untuk mendapatkan wang tunai. Setelah menyerahkan wang, lelaki itu berjanji berjumpanya pada hari yang sama namun tidak berbuat demikian dan nombor telefonnya tidak dijawab.

Dua hari kemudian, Vanija berjumpa dengan guru besar sekolah berkenaan untuk menyatakan minatnya mengendalikan kantin namun dimaklumkan bahawa tiada tender yang dibuka dan tiada lelaki bernama ‘Ragunathan’ yang dikenalinya.

Walaupun Vanija menghantar sistem pesanan ringkas (SMS) agar memulangkan duitnya, lelaki itu enggan.

Susulan itu, Vanija membuat laporan di Balai Jelutong yang membawa penahanan tertuduh pada 24 Februari 2013.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Noor Azura Zulkiflee dan Prabaharan diwakili Ravi Chandran.

Sementara itu, Prabaharan juga menukar pengakuan bersalah di Mahkamah Majistret 2, atas tuduhan memperdaya Vikneswary Balakrishnan, 29, untuk menyerahkan wang RM16,000 sebagai bayaran balik hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) di Bank Rakyat, Jalan Magazine di sini pada 3 petang, 6 Disember 2012.

Bagaimanapun, Majistret Sri Pracha Nanthini Balabedha menetapkan 25 April ini untuk fakta kes dan hukuman terhadap Prabaharan atas permintaan peguamnya.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Farhana Hashim.

Prabaharan menghadapi satu lagi pertuduhan di Mahkamah Majistret 3 tetapi peguamnya terus memohon tarikh baru sebelum kes itu disebut.

Majistret Dianne Nigrad Nor Azhar yang menerima permintaan Ravi, menetapkan 19 Mei ini untuk tarikh akhir kes disebut semula.

Bagaimanapun, tiada pengakuan baru direkodkan daripada Prabaharan. Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Hafiz Hashim.

Lelaki itu didakwa memperdayakan warga emas T Suppamal, 68, untuk menyerahkan enam utas rantai leher, enam pasang subang, dua pasang gelang, lima bentuk cincin dan seutas rantai tangan bernilai RM60,000 untuk tujuan dicuci.

Dia melakukan kesalahan itu di sebuah rumah, Taman Hamna Lorong Helang 1, Sungai Dua, Gelugor di sini pada 10 pagi, 7 November 2012.

Ketiga-tiga pertuduhan di atas dikemukakan  mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebatan serta boleh didenda jika sabit kesalahan.

-Sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");