Jenayah

Keselamatan sekolah tidak terjamin

sekolah 1

MUADZAM SHAH – Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Keratong, dekat sini menggesa pihak berkaitan membaiki bangunan sekolah itu yang terbakar Februari tahun lalu dan kerosakan atap sebuah bangunan akibat dipukul ribut pada Mac 2011.

Pengerusi PIBG SMK Keratong, Amir Sharifuddin Osman berkata, aduan telah dibuat kepada pihak berkenaan tetapi tiada tindakan sewajarnya diambil hingga menyebabkan 10 kelas yang terjejas tidak boleh digunakan sehingga kini.

“Sesi pembelajaran pelajar terganggu kerana kelas tidak cukup, jadi mereka terpaksa menumpang kelas lain atau belajar di makmal sekolah.

“Keadaan atap yang belum dibaiki juga boleh mendatangkan bahaya kerana berisiko mengakibatkan litar pintas sekiranya hujan.

“Sebuah bangunan kelas yang tiada bekalan elektrik pula terpaksa menggunakan wayar penyambung dari bangunan bersebelahan,” katanya.

Dalam pada itu, AJK PIBG mewakili Orang Asli Bukit Serok, Ideris Lapoh kecewa selepas tindakan lewat diambil pihak berkenaan.

“Sekolah ini sangat penting kerana ia paling hampir dengan Bukit Serok yang menempatkan kira-kira 10 peratus pelajar Orang Asli di sini.

“Ramai dalam kalangan anak-anak Orang Asli Bukit Serok dan kawasan berhampiran belajar di sini,” katanya.

Seorang lagi AJK PIBG, Sopiah Majid berkata, perpustakaan sekolah yang terletak di bangunan yang terjejas akibat atap bocor itu sering mengungguli pertandingan pusat sumber cemerlang daerah ini dan pernah mendapat tempat ketiga bagi Pahang pada 2013.

“Kini jumlah pelajar yang mengunjungi perpustakaan semakin berkurangan dan pihak sekolah juga terpaksa menanggung kerugian kerana banyak kemudahan di dalam perpustakaan itu yang terjejas,” katanya.

Sementara itu, Adun Bukit Ibam, Datuk Wan Kadri Wan Mahusain memaklumkan beliau akan mengambil tindakan susulan berkaitan masalah yang dihadapi SMK Keratong.

“Saya tidak dimaklumkan mengenai masalah yang dihadapi sekolah ini, namun saya akan membuat semakan dengan pihak sekolah dan jabatan pelajaran untuk mendapatkan maklumat terkini serta penyelesaian yang boleh diambil,” katanya.

-Sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");