Jenayah

Ketagihan bermula dengan rokok

ketagih

PERCERAIAN kedua ibu bapa ketika usianya baru mencecah 10 tahun ternyata memberi kesan kepada Nasir (bukan nama sebenar) apabila kehidupannya yang sebelum itu diselubungi keceriaan dan kebahagiaan mula berubah.

Biar pun jiwanya memberontak, tiada apa yang dapat dilakukan Nasir dan dua adik perempuannya apabila ibu bapa mereka mengambil keputusan untuk bercerai dan mengikut haluan masing-masing.

Selepas memilih tinggal bersama ibunya yang kemudian berkahwin lain, Nasir mula memilih kawan sebagai tempat mengadu segala masalah hidupnya apabila mula menjejakkan kaki ke sekolah menengah.

Pada usia 14 tahun, Nasir sekali terpaksa ‘berpisah’ dengan ibu dan dua adiknya apabila dipaksa supaya tinggal di rumah sewa berhampiran sekolah atas alasan supaya dia lebih rajin belajar.

“Beberapa bulan selepas tinggal di rumah sewa, saya mula menghisap rokok untuk hilangkan stress (tekanan). Lagi pun, rasa janggal bila tengok saja semua rakan serumah hisap rokok,” katanya.

Nasir berkata, ‘pengembaraan’ hidupnya dalam dunia dadah bermula apabila mula terjebak dengan penagihan ganja yang dicampur dalam rokok selepas terpengaruh dengan ajakan kawan-kawan.

“Seingat saya, seorang rakan beri alasan ganja tidak berbahaya kerana berasal dari tumbuh-tumbuhan dan hanya sejenis herba, malah tidak menyebabkan ketagihan.

“Soal wang untuk beli ganja tidak ada masalah kerana selain ibu, ayah kandung ada juga hantar duit untuk belanja sekolah,” katanya yang mempunyai dua adik perempuan.

Heroin murah, senang diperoleh

Apabila ganja lama-kelamaan tidak lagi memberi kepuasan, Nasir mula beralih kepada dadah jalanan, heroin yang pada waktu itu masih murah dan senang diperolehi.

Menurutnya, perubahan dirinya yang mudah marah, hilang selera makan dan sukar untuk tidur hasil penggunaan heroin mula dikesan ibu dan adik-adiknya setiap kali pulang ke rumah pada musim cuti.

“Jika cuti sekolah panjang, saya mengasingkan diri dari keluarga dan lebih banyak habiskan masa di luar bersama kawan-kawan yang ‘satu kepala’ daripada duduk di rumah,” ujarnya.

Nasir yang kini berusia 30 tahun berkata, apabila harga heroin makin meningkat dan sukar diperolehi, dia mula berjinak dengan dadah baharu, methamphetamine atau lebih dikenali dengan nama pil kuda.

“Bagi saya, hisap pil kuda tidak menyebabkan khayal seperti heroin tetapi menjadikan saya seperti seorang yang paling ‘hebat’ kerana tubuh rasa cergas, bertenaga dan dapat berjaga tanpa tidur selama beberapa hari,” katanya.

Menurut Nasir, penglibatannya dalam penagihan najis dadah akhirnya terbongkar apabila ditahan dalam satu serbuan polis di rumah seorang kawan dan dihadapkan ke mahkamah.

“Memang sedih bila tengok air mata ibu bapa mengalir bila melihat saya dihantar ke pusat serenti tetapi waktu itu, nasi sudah menjadi bubur’,” katanya yang dihantar ke sebuah pusat serenti di Pahang selama dua tahun.

Bebas tanpa dadah

Apabila menamatkan tempoh hukuman di pusat serenti, Nasir kembali ke kampung halaman dan mengambil keputusan untuk bekerja di kebun kelapa sawit milik bapa kandungnya.

“Walaupun ramai kawan yang keluar dari pusat serenti kembali semula kepada tabiat lama, saya amat bersyukur kerana tempoh dua tahun ditahan banyak memberi pengajaran.

“Saya juga bertuah kerana dapat sokongan daripada ayah yang sentiasa mengambil berat dan memberikan semangat hingga saya berjaya membebaskan diri daripada ketagihan dadah,” tambahnya.

Nasir yang kini sudah berumah tangga dan hidup bahagia di samping isteri serta seorang anak juga bersyukur kerana diberi peluang kedua untuk memperbaiki dirinya.

“Percayalah, hidup kita akan lebih bahagia tanpa dadah. Matlamat hidup saya sekarang adalah untuk mendekatkan diri kepada ALLAH SWT dan menikmati hidup bahagia bersama keluarga,” katanya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");