Membawang Hari Ini

Kuasa luar biasa Judika

judika

Takrifan seorang penyanyi hebat ialah sebaik saja dia ‘buka’ mulut, suaranya terus menusuk ke hati pendengar dan dapat dirasakan keikhlasan pengucapan pada liriknya.

Dilengkapkan pula dengan kekuatan ciri penghibur semula jadi yang mampu menguasai pentas dengan baik dari segi sembahan juga celotehnya, penyanyi sebegitu memang layak untuk disanjung.

Gambaran itu jelas bertepatan dengan atmosfera dicipta Judika Nalon Abadi Sihotang atau Judika, 35, tatkala menakluk pentas KL Live malam Sabtu lalu sempena konsert sulungnya di sini, Judika Mencari Cinta.

Harus diakui penyanyi yang lahir daripada program realiti Indonesian Idol musim kedua itu sememangnya antara penyanyi seberang paling dinantikan kemunculannya di sini.

Bukan saja setiap percaturan lagunya sentiasa menjadi hit, kekuatan vokalnya tidak disangkal antara paling digeruni, selain rekod persembahan secara langsungnya tidak pernah mengecewakan.

Tidak hairanlah kehadiran lebih 1,500 penonton pada konsertnya itu membuktikan Judika tiada masalah menarik pengikutnya dan terus bersama sehingga ke penghujung acara.

Buat yang pertama kali menyaksikan sendiri kehebatan persembahannya secara langsung, pasti konsert malam itu memberi kepuasan maksimum. Juga bagi yang sudah pernah menyaksikannya sebelum ini, sudah tentu tiket dibeli cukup berbaloi.

Mana tidaknya, dari dulu sehingga sekarang seperkara yang pasti mengenai penyanyi itu adalah vokalnya tidak sekalipun mengecewakan.

Kehadirannya memberi kepuasan kepada peminat yang sentiasa menantikan satu persembahan lengkap termasuk vokal luar biasa, tenaga mahupun momentum di atas pentas.

Membuka persembahannya menerusi lagu yang cukup menaikkan namanya pada awal kemunculan dulu iaitu Bukan Rayuan Gombal, segenap ruang KL Live bergema dengan jeritan peminat.

Dia tidak perlu tampil berlebihan, malah pada malam itu cuma mengenakan pakaian serba hitam bertepatan dengan imejnya bersuara rock sambil diiringi band di atas pentas.

Paduan suara dengan idolanya, Amy Search menyempurnakan impian Judika dan ternyata gandingan dua penyanyi itu mencipta magis tersendiri.

Masing-masing ada kelebihan. Amy yang sudah terlalu besar namanya di sini sebagai legenda rock manakala Judika penyanyi hebat yang mampu mencairkan pendengar dengan suaranya.

Sempat berehat sebentar di belakang pentas menukar persalinan, pentas diambil alih Amy yang mendendangkan lagu Kerja Gila sebelum Judika menyertainya menyanyikan lagu Tiada Lagi dan Isabella.

“Saya amat berbangga dapat berkongsi pentas dengan abang Amy pada malam ini yang selama ini menjadi inspirasi kepada perjuangan muzik saya.

“Begitu juga kepada semua yang hadir khasnya Judikaholic kerana sudi menyokong konsert sulung saya di sini,” katanya.

Kehangatan malam itu diteruskan dengan persembahan lagu yang antaranya menuntut Judika bermain perasaan manakala selebihnya mempamerkan vokal sempurna.

Penonton tidak ketinggalan menyanyi bersama lagu-lagu hitnya seperti Bukan Dia Tapi Aku, Separuh Nafas, Setengah Mati Merindu dan Mama Papa Larang.

Juga sempat menghiburkan dengan sebuah lagu ‘cover version’, dia tampil dengan lenggok tersendiri mengalunkan lagu milik penyanyi British, Adele menerusi Someone Like You yang turut membuat penonton menyanyi bersama.

Turut dinyanyikan malam itu termasuklah lagu Magnet dan Apakah Ini Cinta.

Kemuncaknya, lagu paling dinantikan tentu sekali Aku Yang Tersakiti yang menjadi lagu paling berhantu Judika setakat ini. Seluruh dewan bergema dengan nyanyian beramai-ramai, sekali gus menutup konsert malam itu.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");