Jenayah

Lima motosikal diangkut pencuri

curi

SEGAMAT – Seorang pemilik kedai menjual motosikal di Jementah Baru, di sini, kerugian kira-kira RM105,000 apabila lima motosikal baharu dan pelbagai aksesori motosikal di kedainya hilang.

Peniaga, Lim Chin Yap, 28, berkata, kejadian disedarinya kira-kira jam 9 pagi kelmarin apabila dia bersama dua pekerja tiba di bangunan dua lot yang disewanya untuk dijadikan kedai motosikal.

“Apabila sampai di hadapan kedai, saya tidak perasan kedai saya telah dipecah masuk kerana pintu besi yang pertama berkunci seperti biasa. Saya perasan sesuatu tidak kena apabila mangga di pintu kedua sudah tiada.

“Ketika itu saya perasan pintu di lot kedai kedua yang bersambung dengan lot kedai pertama tidak tutup rapat. Malah, pintu tarik di sebelah kiri pun tidak rapat seolah-olah telah dibuka seseorang,” katanya.

Bimbang sesuatu yang buruk berlaku di kedai yang beroperasi sejak dua bulan lalu itu, Chin Yap bersama dua pekerjanya memeriksa keadaan kedai sebelum mendapati lima motosikal di dalam kedai telah hilang.

Menurutnya, hasil pemeriksaan didapati pelbagai aksesori motosikal seperti topi keledar, jaket, dan sarung tangan yang disimpan di bahagian belakang kedai telah hilang.

“Motosikal yang hilang adalah dua motosikal berkuasa tinggi model Kawasaki dan tiga lagi model Yamaha. Nilai kelima-lima motosikal tersebut adalah RM99,000 kerana dua model Kawasaki ZR800 dan KR150 setiap satu berharga RM51,000 dan RM12,000.

“Mungkin kedai saya dipecah masuk oleh empat hingga lima orang pada awal pagi memandangkan mereka sempat menurunkan dua motosikal yang disimpan di tingkat atas kedai,” katanya.

Menurutnya, dia telah membuat laporan polis di Balai Polis Jementah pada jam 11.45 pagi kelmarin untuk tindakan selanjutnya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Mohd Kamil Sukarmi ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian tersebut.

“Butiran lengkap mengenai lima motosikal yang hilang di kedai tersebut telah diambil dan kesemua motosikal tersebut masih belum didaftarkan dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ),” katanya.

Sementara itu, Adun Jementah, Tan Chen Choon yang melawat kedai motosikal milik Lim Chin Yap di sini, semalam, meminta pihak polis memperhebatkan rondaan di kawasan tersebut bagi mengelak kejadian sama berulang.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");